Tafsir Surah Yusuf Ayat 1 – 4 (Kisah terhebat)

Pengenalan:

Para sahabat telah meminta kisah yang indah kepada Rasulullah maka Allah turunkan Surah Yusuf ini. Yang menariknya, surah ini dari awal hingga akhirnya adalah kisah tentang Nabi Yusuf a.s. sahaja. Ini berlainan dengan surah-surah lain kerana kalau surah lain, ada campur-campur banyak kisah. Sebagai contoh, kisah Nabi Musa a.s. banyak dalam Qur’an tapi tidaklah diperuntukkan keseluruhan satu surah untuk kisahnya. Tapi surah ini tidak putus dari awal hingga akhir kisah tentang Nabi Yusuf sahaja. Ini adalah sesuatu yang hebat.

Secara ringkasnya, ada 4 perkata yang Allah hendak beritahu dalam surah ini. Oleh itu, surah ini mepunyai empat Dakwa:

  1. Hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib. Nabi pun tidak tahu. Maka ini adalah tentang akidah yang kita kena pegang sentiasa. Jangan kita kata yang para Nabi pun tahu tentang perkara ghaib juga. Ini kita belajar dalam kisah-kisah para Nabi dalam surah ini.
  2. Allah berkuasa penuh atas segalanya, tidak Nabi – samada mereka hidup atau mati. Kuasa tasarruf hanya ada pada Allah sahaja. Terdapat kisah bermacam ikhtiar yang dibuat oleh Nabi Ya’qub, adik beradik Nabi Yusuf dan mereka yang lain dalam kisah ini tetap apa yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah taala sahaja.
  3. Surah ini untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad. Ianya turun di Mekah. Ianya akan memberitahu yang orang Mekah yang menentang Rasulullah akhirnya akan mengalah sepertimana adik beradik Nabi Yusuf juga. Walaupun permulaannya mereka bersikap buruk terhadap Nabi Yusuf tapi akhirnya mereka ikut nasihat baginda juga. Oleh itu Rasulullah tidak perlu bimbang sangat dengan layanan Musyrikin Mekah itu – baginda akan menang akhirnya.
  4. Semua Nabi apabila dipilih jadi Nabi tidak boleh hidup bebas tapi mereka akan diuji dengan tugas. Mereka tidak boleh hidup macam orang lain lagi dah kerana mereka itu ada tugas. Mereka kena jalankan tugas mereka menyampaikan dakwah dan sepanjang masa itu mereka akan kena uji. Begitu juga dengan umat yang mengaku ikut Nabi dan sanggup untuk menyambung kerja Nabi untuk berdakwh, mereka juga akan diuji. Tapi sebagaimana Allah selamatkan para Nabi, begitu juga Allah akan selamatkan mereka yang menyambung tugas para Rasul itu.

Ada satu lagi kisah tentang surah ini: ada orang Yahudi yang tanya soalan kepada Nabi Muhammad: kenapa Bani Israil ada di Mesir dan kenapa mereka keluar dari Mesir? Sebenarnya, mereka sengaja tanya soalan untuk merendahkan Nabi Muhammad. Maka Allah jawap soalan kenapa Bani Israil ada di Mesir dengan Surah Yusuf ini; dan tentang kenapa mereka tinggalkan Mesir, itu dijawap dalam Surah Taha yang banyak menceritakan tentang Nabi Musa a.s.

Surah ini Surah Makkiyyah. Ianya diturunkan selepas kematian isteri baginda, Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tahun ini dinamakan Tahun Kesedihan. Dan kena pula dengan nama Yusuf yang berasal dari أ س ف yang bermaksud ‘sedih’.

Allah jadikan 15 keadaan yang berbeza dalam kisah ini dan kita akan kupaskan satu persatu nanti. Dalam Surah Hud sebelum ini, Dakwa kedua surah itu adalah hanya Allah yang mengetahui perkara ghaib dan kuasa tasarruf Allah meliputi segalanya. Surah Yusuf  menceritakan kisah Nabi Yusuf untuk membuktikannya. Allah beri contoh bagaimana dua sifat itu hanya ada pada Allah sahaja. Apabila diyakini kedua sifat Allah itu, maka barulah kita dapat terima dan yakin bahawa hanya Dialah sahaja yang layak disembah.

Surah Hud menunjukkan bahawa tiada seorang pun walaupun seorang alim yang mengetahui perkara ghaib dan mempunya kuasa tasarruf. Surah Yusuf ini pula membawakan kisah tentang Nabi Ya’qub yang tidak mepunyai kedua sifat tadi walaupuan beliau seorang Rasul dan keturunan Nabi.


 

Ayat 1:

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Yūsuf: (The Prophet) Joseph.

Alif, Lām, Rā.¹ These are the verses of the clear Book.

  • See footnote to 2:1.

(MALAY)

Alif, laam, raa. Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Quran) yang nyata (dari Allah).

 

الر

Alif, laam, raa.

Sekali lagi ada Huruf-huruf Muqatta’ah dalam ayat ini. Kita sudah bincangkan dengan panjang lebar dalam surah-surah yang lain tentangnya. Boleh rujuk kepada perbincangan dalam Surah Ghafir.

 

تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ

Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Quran) yang nyata

Allah memberitahu bahawa Qur’an ini adalah jelas nyata. Ianya jelas nyata kepada mereka yang mahu belajar sahaja. Kalau kita telah belajar tafsir Qur’an, maka kita akan pasti bahawa Qur’an ini jelas dari Allah taala dan bukannya rekaan Rasulullah atau selainnya.

Dan apabila digunakan kalimah المُبينِ, bermakna dalam surah ini akan ada dalil naqli sahaja. Kisah yang ada dalam surah ini diambil dari wahyu dan bukan rekaan dari Rasulullah.


 

Ayat 2:

إِنّا أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have sent it down as an Arabic Qur’ān¹ that you might understand.

  • i.e., revealed in the Arabic language.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami menurunkannya Al Qur’an dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.

 

إِنّا أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا

Sesungguhnya Kami menurunkannya Al Qur’an dengan berbahasa Arab,

Qur’an dari segi bahasa adalah ‘sesuatu yang banyak dibaca’ dan ini terbukti kerana Qur’an yang ada di tangan kita sekarang ini amat banyak dibaca malah dihafal oleh sangat ramai orang di seluruh dunia. Dan Qur’an itu telah diturunkan dalam bahasa Arab. Jadi kalau kita baca kitab terjemahan, itu bukanlah Qur’an. Kita kena faham ada beza antara ‘terjemahan’ dan Qur’an itu sendiri kerana Qur’an itu kena dalam bahasa Arab. Terjemahan itu tidak tepat dan tidak akan ada terjemahan yang tepat kerana itu adalah salah satu pendapat sahaja tentang ayat Qur’an kerana ayat Qur’an ada banyak makna dan tidak mungkin dapat diterjemahkan. Ini adalah kerana Qur’an itu adalah bahasa yang kaya dan tidak mungkin dapat diterjemahkan. Cuma kita guna kitab terjemahan itu sebagai panduan sahaja.

Apabila dikatakan Qur’an itu dalam bahasa Arab, ini bermakna yang Allah turunkan terus Qur’an itu dalam bahasa Arab, maksudnya bukan menggunakan kalimah dari Nabi Muhammad. Qur’an itu memang siap turun dalam bahasa Arab dah dan bukanlah Nabi Muhammad yang mengeluarkannya dalam bahasa Arab pula. Dan ini berbeza dengan hadith. Memang hadith juga adalah wahyu juga tapi Nabi diberi ilham dan kefahaman kepada, dan baginda sendiri yang gunakan bahasa baginda untuk menjelaskan apa yang baginda faham. Jadi, hadis tidak diturunkan dalam bahasa Arab, tapi menggunakan bahasa Nabi Muhammad sendiri.

Allah menggunakan bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling jelas, paling terang, paling luas, dan paling banyak perbendaharaan kata-katanya untuk mengungkapkan berbagai pengertian untuk meluruskan jiwa manusia. Kerana itulah Allah menurunkan Kitab-Nya yang paling mulia dengan bahasa yang paling mulia di antara bahasa-bahasa lainnya yang disampaikan-Nya kepada rasul yang paling mulia melalui perantaraan malaikat yang paling mulia. Dan penurunannya terjadi di belahan bumi yang paling mulia, serta awal penurunannya (Al-Qur’an) terjadi di dalam bulan yang paling mulia, yaitu bulan Ramadan; sehingga sempurnalah kitab Al-Qur’an ini dari berbagai seginya.

 

لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

agar kamu memahaminya.

Qur’an itu diturunkan dalam bahasa yang kita boleh baca dan faham, supaya kita boleh memikirkan apakah yang disampaikan di dalamnya. Ianya untuk kebaikan kita tapi kalau tidak belajar tafsir Qur’an, bagaimanakah kebaikan itu boleh diambil?


 

Ayat 3: Surah ini diturunkan sebagai menjawap soalan dari puak Yahudi. Puak Musyrikin Mekah, setelah tidak ada cara lagi untuk berlawan hujah dengan Nabi Muhammad SAW, telah meminta idea dari Yahudi yang berada di Yathrib (nama lama Madinah). Puak Yahudi suruh Musyrikin Mekah tanya kisah Nabi Yusuf. Mereka kononnya hendak memerangkap Nabi Muhammad kerana memang tidak ramai yang ketahui kisah Nabi Yusuf itu. Kalau ada yang tahu hanyalah mereka yang ada kitab wahyu, dan tidak ada kisah sebegitu dalam Bahasa Arab.

Oleh itu, apabila kisah Nabi Yusuf ini diceritakan dalam Bahasa Arab, ia menjadi satu bukti yang Nabi muhammad adalah rasul, kerana tidak pernah ada kisah ini disebut dalam bahasa Arab. Jadi tentunya baginda hanya dapat kisah ini dari wahyu yang disampaikan oleh Allah SWT.

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ بِما أَوحَينا إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We relate to you, [O Muḥammad], the best of stories in what We have revealed to you of this Qur’ān although you were, before it, among the unaware.

(MALAY)

Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.

 

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ بِما أَوحَينا إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ

Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu,

القَصَصِ dari katadasar ق ص ص yang bermaksud ikut jejak langkah. Digunakan untuk kisah yang diberitahu berkali-kali (kerana macam ulang jejak langkah sebelum itu). Oleh itu, القَصَصِ adalah kisah yang disampaikan dari generasi ke generasi. Akan tetapi kisah Nabi Yusuf ini tidak ada dalam sejarah bahasa Arab, tapi ia ada dalam riwayat Orang Yahudi. Dan mereka memang suka tentang kisah ini dan selalu disebut dalam tradisi mereka dan diulang cerita kepada keturunan mereka.

Satu lagi asbabun nuzul surah ini adalah kerana permintaan para sahabat sendiri. Di dalam sebuah hadis disebutkan penyebab turunnya ayat ini yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir.

Disebutkan bahawa telah menceritakan kepadaku Nasr ibnu Abdur Rahman Al-Audi, telah menceritakan kepada kami Hakam Ar-Razi, dari Ayyub, dari Amr (yakni Ibnu Qais Al-Mala-i), dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa para sahabat pernah berkata, “Wahai Rasulullah, alangkah baiknya seandainya engkau menceritakan kisah-kisah kepada kami.” Maka turunlah firman-Nya: Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik. (Yusuf: 3)

Sekarang sekarang kisah ini disampaikan pula dalam Qur’an kepada Nabi Muhammad SAW.

 

وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ

dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.

الغافِلينَ bermaksud orang yang tidak tahu. Kalimah ‘ghaflah’ ada dua jenis – dari intelektual atau spiritual. Nabi dikatakan sebagai ‘ghaflah’ dalam ayat ini. Maksudnya Nabi Muhammad pun tidak tahu kisah ini wujud. Dan bukan baginda sahaja, kerana digunakan kalimah لَمِنَ الغافِلي (sebahagian dari mereka yang tidak tahu) yang bermaksud masyarakat Arab pun tidak tahu dan baginda adalah salah seorang dari mereka.

Allah katakan ini adalah أَحسَنَ القَصَصِ (kisah terbaik). Tapi, mungkin kita tidak terasa begitu kerana kisah ini tidak disampaikan dengan menarik. Oleh itu, walaupun Allah sebut yang kisah Nabi Yusuf a.s ini adalah kisah terbaik, tapi susah orang kita nak terima yang ini adalah kisah terbaik, bukan? Lebih-lebih lagi nak menjadikan kisah ini menarik kepada kanak-kanak kerana mereka sekarang dah macam-macam benda mereka yang mereka telah didedahkan. Rancangan TV dan kartun lagi banyak yang menarik perhatian mereka. Jadi kisah macam kisah para Nabi ini tidak menarik perhatian mereka, malangnya. Dan ini adalah kerana kita tak pandai cerita kepada mereka.

Ini adalah kerana selalunya apabila kita ceritakan kepada mereka, tidak ada nilai hiburan untuk mereka menyebabkan mereka rasa bosan. Dan kerana itu, kisah para Nabi ini terpaksa berlawan dengan semua rancangan tv dan semua games, bukan? Kita kena sedar yang manusia sifatnya suka elemen hiburan. Walaupun sebenarnya hiburan itu tidak tahan lama pun. Sebagai contoh, kalau kita dah tengok filem sekali, selalunya sudah tak mahu nak tengok dah, bukan? Akan tetapi Qur’an kita selalu ulang-ulang baca, bukan? Tapi kita tidak rasa bosan baca, bukan? Jadi kita kena pandai cerita dengan menggunakan kaedah penceritaan Qur’an. Dan untuk mendapatkannya, kenalah belajar dulu tafsir Qur’an.

Oleh itu, ada cabaran untuk menjadikan Kisah Nabi Yusuf ini jadi menarik kerana mungkin ada yang rasa macam dah pernah dengar dah, jadi tidak ada kesan hiburan lagi di dalamnya. Oleh itu kita kena tahu apa hujungnya supaya kita tahu apakah kebaikan untuk kita tahu kisah ini. Allah kata kisah ini ada ibrah – pengajaran. Ianya dari katadasar yang bermaksud menyeberangi air (sungai atau laut dan sebagainya). Digunakan kerana apabila sesuatu kisah itu memberi kesan kepada hati kita, ia sampai mengalirkan air mata kita (air menyeberangi dari mata meleleh ke pipi). Memang ada kisah yang kita tidak dapat tahan dari mengalirkan airmata, bukan?

Dan begitulah nanti dalam kisah Nabi Yusuf ini kita akan belajar dan kita akan nampak bagaimana kisah ini kena sungguh dengan kita. Memang asalnya kisah Nabi Yusuf, tapi sebenarnya kita seolah-olah sedang membaca kisah kita kerana ada kaitan rapat dengan kita. Dan kerana inilah kisah ini dikatakan sebagai kisah yang hebat.

Ada banyak karektor yang kita akan berjumpa nanti tapi nama-nama mereka tidak disebut pun. Nama mereka hanya dibincangkan dalam kitab tafsir sahaja, tapi Allah tidak sebut dalam Qur’an kerana nama mereka tidak penting. Yang penting adalah kisah mereka. Yang hanya disebut adalah nama Nabi Yusuf dan Nabi Ya’kub sahaja. Ini menunjukkan yang Allah hanya berikan maklumat yang penting sahaja. Kita akan belajar bagaimana dalam surah ini Allah akan beri kajian tentang manusia dengan cara yang amat hebat sekali. Kalau ada yang dapat menjalankan kajian tentang psikologi manusia menggunakan surah ini, tentu jadi amat hebat.


 

Ayat 4: Nanti kita akan belajar tentang 4 kisah permulaan dan seterusnya kisah-kisah lain. Sekarang dimulakan dengan kisah permulaan. Selalunya, manusia akan ingat kisah yang besar-besar, tapi lupa kisah-kisah kecil. Allah bawa kepada kita sekarang kisah yang kecil tentang seorang anak kecil yang bercakap dengan bapanya.

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Of these stories mention] when Joseph said to his father,¹ “O my father, indeed I have seen [in a dream] eleven stars and the sun and the moon; I saw them prostrating to me.”

  • The prophet Jacob (upon whom be peace)

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

 

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ

(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya:

Permulaan kisah Nabi Yusuf ini bermula dengan mimpi Nabi Yusuf a.s. Mari kita lihat dialog Nabi Yusuf dengan ayahnya, Nabi Ya’kub a.s.

Baginda menggunakan kaliah يا أَبَتِ dengan ayahnya itu. Ini menunjukkan yang Nabi Yufuf bercakap dengan nada lembut dan hormat kepada ayahnya. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan terhadap ibubapa kita. Cuma lihat bagaimana Nabi Yusuf lakukan dan bandingkan dengan anak-anak kita. Ada anak-anak kita yang kecil, apabila perlukan perhatian kita, macam mana? Kadang-kadang kita dengar mereka menjerit panggil kita, bukan? Tapi lihat bagaimana Nabi Yusuf yang waktu itu muda juga, tapi dia gunakan bahasa dan budibicara yang baik.

 

إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ

“Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

Baginda memberitahu kepada ayahnya, bahawa dia telah bermimpi yang 11 bintang dan matahari dan bulan, sujud kepada baginda. Apakah maksud bintang, matahari dan bulan itu?

  • 11 bintang itu adik beradik baginda.
  • matahari itu ayah dia. Dan ada yang kata matahari itu emak baginda kerana matahari dalam Arab berjantina perempuan.
  • bulan itu adalah emak dia. Dan kalau ambil pendapat yang mengatakan matahari itu emak, maka bulan adalah ayahnya (Nabi Ya’kub).

Takwil mimpi Nabi Yusuf ini baru terjadi sesudah selang empat puluh tahun kemudian, pendapat lain mengatakan sesudah lapan puluh tahun. Ianya terjadi ketika Nabi Yusuf mempersilakan kedua orang tuanya untuk menduduki kursi singgahsananya, sedangkan semua saudaranya berada di hadapannya dan ini disebut dalam ayat 100

{وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا}

Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.”

Mimpi Nabi Yusuf a.s. ini adalah wahyu walaupun baginda belum lagi menjadi Nabi (bakal Nabi). Dan dari mimpi ini, Nabi Ya’kub tahu yang Nabi Yusuf akan menjadi seorang Nabi.

لي ساجِدينَ. Dari susunan ini, kita tahu yang susunan ini tidak normal seperti kebiasaan bahasa Arab. Ini adalah kerana dia terkejut dan sampai tersasul dia berkata-kata. Kerana dia tidak sangka yang bintang, matahari dan bulan itu akan sujud kepadanya.

Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Yusuf sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu. Ini kita tahu dari penggunaan kalimah ساجِدينَ yang digunakan. Ini adalah kerana, dari segi nahu, bintang, matahari dan bulan itu adalah benda, dan sepatutnya digunakan kalimah muannast, tapi Nabi Yusuf menggunakan kalimah ساجِدينَ yang hanya digunakan untuk kehidupan bernyawa seperti manusia. Jadi ini menguatkan pendapat yang mengatakan dia sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu.

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al Qur’an.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 012: Yusuf. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s