Tafsir Surah Ghafir Ayat 26 – 33 (Kisah Lelaki Mukmin)

Ayat 26: Firaun adalah seorang individu yang licik dan pandai berhujah dalam menolak kebenaran. Dia dapat jadi raja pun sebab dia pandai. Allah memasukkan kisah Firaun dalam ayat ini, supaya kita tahu, kalau ada manusia yang pandai menolak pun, itu sebenarnya dia ikut cara Firaun. Allah sebut kisah Firaun kepada mereka yang belajar tafsir Qur’an sebab akan sentiasa ada orang yang jenis Firaun dalam dunia dari dulu sampai sekarang. Mereka pandai berhujah sampai ramai yang ikut dia macam rakyat Firaun ikut Firaun. Ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana dia hendak merosakkan kehidupan mereka yang beriman. Sekarang disebut cara kedua Firaun. Dia gunakan cara politik.

وَقالَ فِرعَونُ ذَروني أَقتُل موسىٰ وَليَدعُ رَبَّهُ ۖ إِنّي أَخافُ أَن يُبَدِّلَ دينَكُم أَو أَن يُظهِرَ فِي الأَرضِ الفَسادَ

Sahih International

And Pharaoh said, “Let me kill Moses and let him call upon his Lord. Indeed, I fear that he will change your religion or that he will cause corruption in the land.”

Malay

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka bumi”. 

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى

Firaun berkata: Biarkan aku bunuh Musa.

Firaun kata biar dia bunuh Nabi Musa. Ini adalah kali kedua dia hendak bunuh Nabi Musa – kali pertama semasa Nabi Musa dilahirkan. Masa dia kata hendak bunuh Nabi Musa itu, dia sebenarnya kenal yang Nabi Musa itu adalah Rasul. Cuma tak nak percaya sahaja. Sekarang dia kata dia hendak membunuh Nabi Musa. Kerana keadaan sudah jadi teruk, ramai sudah mahu percaya kepada Nabi Musa. Dia nak tunjukkan kekuasaannya. Tapi dia kata begitu, dalam nada, dia nak bunuh itu untuk kebaikan penduduk Mesir sahaja. Bukanlah dia nak bunuh sangat, tapi sebab dia nampak ada kononnya ada keburukan yang ada pada Nabi Musa itu. Dan mungkin itu kata-kata dia sahaja, bukan nak bunuh kerana seperti telah disebut sebelum ini, dia sendiri takut hendak bunuh Nabi Musa kerana dia sendiri tahu yang Nabi Musa adalah seorang Nabi. Kerana fikirkanlah, kalau benar-benar dia nak bunuh Nabi Musa, senang sahaja dia nak bunuh, bukan?

Dia kata dia nak bunuh Nabi Musa kerana dia nampak Musa adalah penyebab masalah. Nabi Musa pandai berdakwah dan Firaun sudah rasa takut kerana orang sudah mula percaya. Dia rasa masalah akan selesai kalau Nabi Musa mati. Dalam ayat sebelum ini, dia nak ganggu pengikut, sekarang dia nak serang kepala yang diikuti. Boleh nampak strategi dia? Hebat strategi dia.

Kenapakah dia gunakan perkataan ذَرُونِي (biarkan aku) untuk bunuh Nabi Musa? Padahal, bukankah dia sendiri kata yang dia adalah ‘tuhan Mesir’? Bila dia kata macam itu, nampak macam dia minta kebenaran untuk bunuh Nabi Musa pula, padahal selalunya dia buat keputusan sendiri sahaja, tak perlu nak minta kebenaran. Dia cakap macam itu supaya nampak macam penduduk Mesirlah yang menghalang dia membunuh Musa. Macam kalau orang Mesir tak halang dia, dia dah bunuh dah Nabi Musa itu. Jadi, dia nak kata, jangan halang dan kacau dia dari membunuh Nabi Musa. Dia memang pandai main politik.

Maknanya, ada rasa takut juga dalam dirinya. Dia sebenarnya pengecut juga. Di luar, dia tunjukkan keberanian, tapi dalam hati, dia takut juga. Ada riwayat yang mengatakan bagaimana semasa dia cakap begini, dia terkencing kerana takut sangat. Tapi, kenapakah dia takut nak bunuh Nabi Musa? Sepatutnya senang sahaja untuk dia bunuh Nabi Musa, bukan? Dia ada rasa takut kerana dia tidak pernah berjaya bunuh Musa. Setiap kali dia nak bunuh, ada sahaja halangan. Perkara ini dari masa Nabi Musa kecil lagi. Itu adalah kerana baginda telah dijaga oleh Allah. Begitu jugalah Nabi Muhammad telah dijaga oleh Allah. Walaupun Nabi Muhammad dibenci oleh Musyrikin Mekah, mereka rasa dia penyebab segala masalah, mereka juga sudah buat rancangan nak bunuh baginda, tapi tidak berjaya. Begitu jugalah dengan Nabi Isa a.s. tidak berjaya dibunuh oleh kaumnya.

Dikatakan juga, setiap kali Firaun hendak membunuh Nabi Musa, pembesar-pembesarnya akan menghalang. Mereka kata Firaun kena kalahkan Nabi Musa dalam hujah. Kerana selama hari ini asyik kalah dalam hujah sahaja. Berbagai-bagai tuduhan dan tohmahan yang telah diberikan oleh Firaun, tapi dapat dijawap oleh Nabi Musa. Memang nampak macam Firaun dalam kedudukan yang lemah. Kalau Firaun bunuh terus, nanti akan nampak kelemahan dia. Nanti orang akan kata Firaun bunuh Nabi Musa itu hanya kerana tidak dapat mematahkan hujah baginda.

Ataupun ada pemimpin itu yang rasa Nabi Musa adalah benar. Tapi mereka tidak mahu beriman kerana mereka mementingkan kedudukan mereka. Dan mereka tidak mahu Firaun bunuh Nabi Musa kerana mereka tahu yang kalau Nabi Musa dibunuh, akan menyebabkan bencana akan jatuh kepada mereka kerana membunuh seorang Rasulullah.

 

وَلْيَدْعُ رَبَّهُ

dan biar dia menyeru kepada Tuhan dia

Biar Nabi Musa berdoa kepada Tuhannya agar diselamatkan dariku, aku tidak peduli dengan-Nya.

Firaun nak tengok macam mana Nabi Musa nak buat bila dia nak bunuh baginda. Begitulah kurang ajarnya Firaun.

 

إِنِّي أَخَافُ أَن يُبَدِّلَ دِينَكُمْ

Sesungguhnya aku ini bimbang dia akan mengubah ugama kamu ini

Ini adalah alasan yang digunakan oleh Firaun untuk membunuh Musa. Dia kononnya risau Nabi Musa akan mengubah agama mereka yang telah lama diamalkan mereka kepada ugama lain. Firaun kononnya hendak menjaga amalan agama mereka yang telah lama mereka amalkan turun temurun. Dia nak kata, Musa ini bawa agama baru yang entah datang dari mana.

Semua manusia takut kalau agama mereka diubah. Samada orang Islam atau tidak. Ianya menjadi benda yang besar kepada manusia kalau fahaman mereka sudah rosak. Bila Firaun sebut macam itu, gelabah habis rakyatnya. Macam sekarang, beza fahaman khalaf dan salaf. Yang amal khalaf pun marah betul kalau puak sunnah masuk. Sampai tak bagi masuk masjid mengajar agama. Nak pakai agama tok nenek juga.

Begitulah pengamal bidaah di negara ini, apabila kita bawa ajaran Sunnah, ada yang menentang kita dengan mengatakan kita bawa ajaran baru, dan mereka hanya hendak menjaga amalan lama yang diajar oleh ulama-ulama dulu sahaja. Mereka kata amalan bidaah itu telah lama diamalkan. Sama sahaja hujah yang digunakan oleh Firaun dan pelampau bidaah negara ini. Sedangkan kita bukan nak kena jaga amalan yang sudah lama, yang penting, kita kena pastikan yang amalan itu benar. Kalau ianya salah, dan walaupun sudah lama diamalkan oleh masyarakat, kena ditinggalkan. Kadang-kadang kita pun tidak faham dengan fahaman mereka ini. Mereka sanggup nak pertahan amalan yang sudah lama walaupun amalan itu salah.

 

أَوْ أَن يُظْهِرَ فِي الْأَرْضِ الْفَسَادَ

Atau dia akan nak melahirkan keganasan di atas muka bumi ini.

Firaun tuduh Nabi Musa hendak menjadi terrorist di bumi Mesir. Dia tuduh Nabi Musa hendak melakukan kerosakan di muka bumi Mesir yang aman damai. Firaun tuduh Nabi Musa hendak memecahkan penduduk Mesir kepada dua puak, supaya pecah belah dan senanglah Nabi Musa hendak mengambilalih kerajaan Mesir.

Ini idea kedua dia. Kalau agama tidak rosak pun, kesan dari dakwah Nabi Musa itu, rakyat akan pecah belah. Ini dia sebut dari segi politik. Sebab nanti akan ada yang ikut Nabi Musa dan ada yang tidak. Kesannya nanti ada dua puak di negara. Inilah yang digunakan pemimpin dunia. Kalau yang mereka tolak adalah kebathilan, memanglah elok. Macam kerajaan kita tolak ajaran Syiah dan cara hidup Barat, itu memang elok. Yang tidak elok adalah kalau kebenaran yang ditolak.

Alasan ini juga digunakan sekarang. Inilah juga kata-kata orang kafir kepada orang Islam. Pemimpin negara Islam pun kata begitu kepada rakyat yang nak bela agama. Iaitu apabila ajaran sunnah ini semakin kuat, mereka kata inilah golongan pelampau agama yang membunuh orang. Mereka tuduh, inilah gerakan yang mengebom negara itu dan ini, menangkap orang itu dan ini dan sebagainya. Baru-baru ini, kita pun tahu bagaimana ada tuduhan: ajaran Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ wa Sifat akan menyebabkan mereka yang mempelajarinya akan jadi terrorist. Ini memang tidak  masuk akal sama sekali. Berapa ramai yang sudah belajar Tauhid 3T ini, tapi tidak jadi terrorist pun?

Lihatlah alasan Firaun ini – dia kata Musa nak buat kerosakan di bumi Mesir. Tapi, selama hari ini, siapakah yang buat kerosakan dan kejahatan di Mesir, bukankah dia? Bukankah dia yang memerintah dengan cara kuku besi? Bukankah dia yang telah mengarahkan dibunuh anak-anak lelaki tanpa belas kasihan lagi? Tidakkah dia telah membunuh ahli-ahli sihir yang telah beriman dengan Nabi Musa? Tidakkah dia telah mengeluarkan perintah untuk membunuh sesiapa yang beriman dengan Nabi Musa dan anak-anak lelaki mereka sekali? Dan entah berapa kali kerosakan yang dilakukan oleh Firaun ini. Lihatlah bagaimana dia yang buat kerosakan, tapi dia salahkan Nabi Musa pula.


 

Ayat 27: Setelah Firaun berkata begitu, apa yang Nabi Musa lakukan? Allah ajar bagaimana cara menghadapi dugaan. Tidak payah gelabah, hanya mengadu sahaja kepada Allah. Tidak perlu buat apa-apa yang susah. Firaun yang besar itu pun, serah kepada Allah sahaja. Allah sudah cukup bagi kita, kita kena yakin sahaja. Inilah jalan para Nabi dalam melakukan doa. Mereka mengadu terus kepada Allah.

Jangan lawan dengan cara mereka. Jangan lawan kekerasan dengan kekerasan. Kita pun kena pakai cara yang ditunjukkan oleh baginda ini. Macam kita sekarang diserang bertubi-tubi oleh puak yang memusuhi sunnah. Mereka gunakan cara yang tidak elok contohnya cacian dan makian. Jangan kita pula guna cara mereka.


وَقالَ موسىٰ إِنّي عُذتُ بِرَبّي وَرَبِّكُم مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لّا يُؤمِنُ بِيَومِ الحِسابِ

Sahih International

But Moses said, “Indeed, I have sought refuge in my Lord and your Lord from every arrogant one who does not believe in the Day of Account.”

Malay

Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu – dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!” 

 

وَقَالَ مُوسَىٰ

Telah berkata Musa:

Ini adalah kata-kata jawapan balas dari Nabi Musa. Lihatlah bagaimana Nabi Musa menjawap dengan tenang sahaja ancaman Firaun itu. Ini adalah juga doa kepada sesiapa yang sebar agama dan kalau dapat ancaman orang nak bunuh atau nak penjara. Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, Allah akan berikan jalan keluar dari masalah. Lihatlah nanti bagaimana Allah membantu Nabi Musa dengan diberikan bantuan dari seorang Lelaki Mukmin dari kalangan keluarga Firaun sendiri.

Nabi Musa berkata ini kepada pengikut-pengikut baginda.

 

 

إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُم

Sesungguhnya aku berlindung dengan Tuhanku dan Tuhanmu juga

Dalam ayat sebelum ini, Firaun cabar dan hendak melihat Nabi Musa meminta tolong kepada Tuhannya. Dan memang Nabi Musa akan berdoa dan berharap kepada Allah sahaja. Tidak ada tempat lain yang hendak diharapnya. Begitu jugalah kita, kena mengharap kepada Allah. Gunakan pendekatan doa – minta Allah zahirkan qudratNya dengan beri pertolongan kepada kita. Kalau ada orang nak serang kita, nak kacau kita, minta tolong kepada Allah sahaja.

Allah bukan sahaja Tuhan kepada Nabi Musa, tapi Tuhan kepada Firaun dan semua orang. Walaupun mereka tidak percaya kepada Allah, Allah tetap Tuhan mereka juga. Tidak ada Tuhan yang lain.

Begitulah juga kita dengan orang kafir sekarang – walaupun mereka tidak mengaku Allah itu Tuhan mereka, tapi tetap Allah itu Tuhan mereka. Allahlah yang memberi kehidupan dan rezeki kepada mereka. Walaupun mereka berdoa kepada tuhan sembahan mereka, tapi Allahlah yang memakbulkan doa-doa mereka itu. Tidak ada Tuhan yang lain. Sembahan-sembahan mereka itu bukan boleh beri apa-apa pun.

Lihatlah bagaimana Nabi Musa berharap dan menyerahkan urusannya kepada Allah. Beginilah pendakwah ajaran Tauhid kena serahkan diri kepada Allah. Kalau ada yang menentang kita, doa kepada Allah. Kena tawakal kepada Allah.

Kerana itulah disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa r.a., bahwa Rasulullah Saw. apabila merasa takut terhadap kejahatan suatu kaum mengucapkan doa berikut:

“اللَّهُمَّ، إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ، وَنَدْرَأُ بِكَ فِي نُحُورِهِمْ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan mereka dan menjadikan Engkau berada pada leher mereka.

 

مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ

dari setiap orang yang sombong

Nabi Musa memohon perlindungan kepada Allah dari mereka yang sombong. Mereka itu dikatakan ‘sombong’ kerana tidak mahu menerima kebenaran, mereka hanya memandang diri mereka sahaja yang penting. Begitulah Firaun. Dan begitulah juga orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran.

 

لَّا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ الْحِسَابِ

dan tidak beriman kepada Hari Perkiraan

Orang yang sombong dan rasa diri besar tidak hiraukan pun dengan Hari Perkiraan (Hari Kiamat). Mereka hanya nampak dunia sahaja dan tidak memikirkan apa yang akan terjadi di Hari Kiamat nanti.

Hari Kiamat itu juga dipanggil dengan ‘Hari Perkiraan’ kerana waktu itu akan dikira apakah amalan manusia semasa di dunia dan mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.


 

Ayat 28: Lihatlah bagaimana Allah membalas doa Nabi Musa itu. Allah telah memberikan sokongan dari kalangan Firaun sendiri.

Ini adalah jawapan hasil dari makbul doa Nabi Musa. Allah zahirkan kebenaran dengan cara luarbiasa. Allah terima doa Nabi Musa dan beri satu jalan untuk menyelamatkan baginda dan kaumnya.

Kisah ini bermula dari ayat ini sampai ke ayat 44 adalah ucapan satu orang. Tidak ada lagi ucapan seorang manusia yang dimasukkan dalam Qur’an panjang begini. Sebab memang indah ucapannya tentang penjelasan agama. Kalau nak ikut teks pidato dia pun boleh. Ada tiga peringkat dalam kata-kata lelaki Mu’min ini: permulaan, pertengahan dan penutup. Sekarang dibawakan Bahagian Pertama/Permulaan.


وَقالَ رَجُلٌ مُّؤمِنٌ مِّن آلِ فِرعَونَ يَكتُمُ إيمٰنَهُ أَتَقتُلونَ رَجُلًا أَن يَقولَ رَبِّيَ اللهُ وَقَد جاءَكُم بِالبَيِّنٰتِ مِن رَّبِّكُم ۖ وَإِن يَكُ كٰذِبًا فَعَلَيهِ كَذِبُهُ ۖ وَإِن يَكُ صادِقًا يُصِبكُم بَعضُ الَّذي يَعِدُكُم ۖ إِنَّ اللهَ لا يَهدي مَن هُوَ مُسرِفٌ كَذّابٌ

Sahih International

And a believing man from the family of Pharaoh who concealed his faith said, “Do you kill a man [merely] because he says, ‘My Lord is Allah ‘ while he has brought you clear proofs from your Lord? And if he should be lying, then upon him is [the consequence of] his lie; but if he should be truthful, there will strike you some of what he promises you. Indeed, Allah does not guide one who is a transgressor and a liar.

Malay

Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau ia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. 

 

وَقَالَ رَجُلٌ مُّؤْمِنٌ مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ

Berkata seorang lelaki beriman dari keluarga Firaun

Mengikut riwayat dia adalah Tengku Mahkota Firaun. Ada yang kata dia adalah sepupu Firaun. Kerana Firaun tidak ada anak lelaki, maka kalau Firaun mati, dialah yang akan mengambil tahta Raja Mesir. Setengah pula kata dia adalah salah seorang menteri. Apabila dia dengar yang Firaun hendak membunuh Nabi Musa, dia tampil ke hadapan mempertahankan Nabi Musa. Tidaklah dia buat senyap sahaja. Dan jihad yang paling utama itu ialah mengutarakan kalimat keadilan di hadapan penguasa yang zalim, seperti yang telah disebutkan di dalam hadis.

Hanya ada tiga orang sahaja yang beriman dengan Nabi Musa dari kalangan keluarga Firaun:

1. Asiah, isteri Firaun

2. Lelaki yang disebut dalam ayat ini

3. Seorang lagi lelaki yang telah memberitahu Nabi Musa yang Firaun hendak membunuhnya. Selepas Nabi Musa terbunuh seorang lelaki Qibti di pasar, Firaun telah mengeluarkan arahan untuk menangkap Nabi Musa kerana hendak membunuhnya. Maka, ada seorang lelaki dari keluarga Firaun yang telah menyampaikan beritahu itu kepada Musa yang menyebabkan Nabi Musa telah melarikan diri dari Mesir. Ini adalah disebut dalam ayat Qasas:20

 

يَكْتُمُ إِيمَانَهُ

yang menyembunyi imannya sebelum ini.

Padahal dia dah lama beriman, tapi dia tidak memberitahu keimanannya itu. Kerana bahaya kalau menyatakan keimanan waktu itu. Kerana Firaun telah mengeluarkan undang-undang bahawa sesiapa yang beriman, akan dibunuh. Keadaan waktu itu tidak membenarkan pernyataan iman di khalayak ramai. Macam juga semasa awal Islam di Mekah, sesiapa yang beriman, merahsiakan keislaman mereka. Dalam keadaan ini, kena tengok keadaan. Kalau menyatakan iman membahayakan nyawa kita, bolehlah kita sembunyikan.

Jadi, lelaki ini tidaklah pengecut. Kalau dia pengecut, tentulah dia tidak cakap apa-apa sampai bila-bila.

Tambahan lagi, apabila dia tidak menyatakan keislamannya, kata-katanya didengar oleh orangramai. Macam dia tidak ada kena mengena dengan Nabi Musa. Kalau dia sudah memberitahu yang dia Islam dari dulu lagi, tentulah orang akan kata yang dia hanya menyokong pemimpinnya sahaja. Tapi, apabila dia tidak menyatakan imannya, nampak macam dia bercakap sebagai pihak ketiga sahaja. Jadi, lebih didengari oleh orangramai.

Jadi, ada tiga sifat lelaki Mukmin ini yang disebut dalam ayat ini:

  1. Dia seorang Mukmin.
  2. Dia dari keluarga Firaun, itu sebab dia boleh duduk majlis Firaun.
  3. Dia waktu itu masih sembunyikan iman dia dari diketahui oleh orang lain. Tiada siapa yang tahu, malah mungkin Nabi Musa sendiri tidak tahu.

Bila dia sudah habis cakap baru dia akhirnya sebut tentang dia sebenarnya telah beriman.

Allah hendak mengajar kita, mungkin dalam kalangan musuh, ada kawan kita. Kadangkala Allah zahirkan pembantu agama dari kalangan musuh. Dalam kisah ini, lelaki Mukmin itu telah membantu dengan beri pesanan dan nasihat.

 

أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا

Patutkah kamu membunuh satu lelaki

Lelaki Mukmin ini mempersoalkan tindakan Firaun untuk membunuh Nabi Musa. Kenapa lafaz ayat ini digunakan dalam lafaz jamak أَتَقْتُلُونَ sedangkan yang mahu membunuh Nabi Musa hanyalah Firaun sahaja? Ini adalah kerana kalau mereka bersetuju dengan tindakan Firaun membunuh Nabi Musa, ianya seperti mereka juga membunuh baginda.

 

أَن يَقُولَ رَبِّيَ اللهُ

“yang hanya berkata, Tuhannya Allah“.

Hanya kerana itu sahaja Firaun hendak membunuh Musa? Bukan dia buat terrorism pun. Tidak patut langsung. Kalau benar Nabi Musa itu buat kesalahan, patutlah kalau nak bunuh dia, tapi apa salah Nabi Musa?

Kalau kamu tidak setuju pun, maka biarkanlah Nabi Musa itu untuk berdakwah kepada kaumnya, jangan kacau dia. Dan memang Nabi Musa minta lepaskan beliau dan kaumnya Bani Israil untuk meninggalkan Mesir pun.

وَإِنْ لَمْ تُؤْمِنُوا لِي فَاعْتَزِلُونِ

dan jika kamu tidak beriman kepadaku, maka biarkanlah aku.” (Ad-Dukhan: 21)

Hal yang sama telah dikatakan oleh Rasulullah terhadap orang-orang Quraisy, beliau meminta agar mereka membiarkannya menyeru hamba-hamba Allah untuk menyembah-Nya, dan janganlah mereka mengganggunya dan hendaklah mereka tetap menghubungkan tali persaudaraan yang telah ada antara dia dan mereka, tiada yang saling menyakiti. Allah Swt. berfirman menceritakan hal ini:

{قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى}

Katakanlah, “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” (Asy-Syura: 23)

Ayat ini juga mengandungi sindiran kepada pengikut Firaun yang mengaku Firaun sebagai tuhan, sedangkan apa yang mereka katakan itu adalah salah. Kerana ajaran tauhid Nabi Musa, bukanlah kata-kata kosong sahaja, tapi baginda bawa dalil dan bukti.

 

وَقَدْ جَاءَكُم بِالْبَيِّنَاتِ مِن رَّبِّكُمْ

dan dia datang bawa dalil bukti dari Tuhan kamu”.

Bukan dia datang dengan kata-kata kosong, tapi Musa telah datang dengan membawa berbagai-bagai bukti dan hujah.

Pernah dalam satu peristiwa di Mekah, seorang lelaki yang bernama Uqbah hendak mencekik Nabi Muhammad. Abu Bakr telah melihat apa yang terjadi dan beliau telah menolak Uqbah dan beliau telah berkata sama dengan kata-kata lelaki yang beriman dalam ayat ini. Begitulah tingginya iman Abu Bakr. Kerana bahaya juga apa yang dilakukannya kerana Islam waktu itu amat lemah dan Abu Bakr telah membahayakan nyawanya.

Begitulah kita kena berani mempertahankan Islam. Jangan kita buat senyap sahaja. Tambahan pula dalam keadaan sekarang dimana ada pertentangan antara jalan Sunnah dan jalan Bidaah. Adakah kita berani untuk mempertahankan jalan Sunnah? Adakah iman kita kuat atau lemah? Atau kita tengok sahaja tanpa menyatakan pendirikan kita? Kerana pemimpin negara akan melihat pihak mana yang lebih ramai pengikut? Kalau mereka lihat pengikut Sunnah pun ramai juga, maka tentu mereka akan lebih berhati-hati dari mengambil tindakan yang tidak patut terhadap pejuang Sunnah. Tapi kalau mereka lihat kumpulan Sunnah ini tidak ramai, itulah yang menyebabkan mereka ambil mudah sahaja tentang kita.

 

وَإِن يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ

Kalau dia berdusta, maka dustanya untuk dirinya sendiri”.

Kalau Nabi Musa menipu, biar Tuhan balas kesalahannya. Dia akan menerima kesannya kalau dia menipu. Kerana Tuhan tidak akan biarkan agamaNya dimain-mainkan. Orang yang berbohong atas nama Tuhan, kita sebenarnya tidak perlu susah nak fikir hal mereka. Sebab kalau dia menipu, dia yang kena tanggung dosa itu. Kita tidak perlu buat apa-apa kerana Allah yang akan hukum dia sendiri.

Dalam ayat ini, Lelaki Mukmin itu menggunakan lafaz ‘kalau dia berdusta’… sedangkan lelaki ini adalah lelaki yang beriman, dan tentu dia tahu yang Nabi Musa tidak berdusta. Tapi beliau berkata begitu sebagai cara berdakwah. Supaya nampak macam dia adalah orang pihak ketiga. Tidaklah nampak dia sokong baginda kerana dia orang Islam.

 

وَإِن يَكُ صَادِقًا

Tetapi kalau dia itu benar, 

Tapi, kalau apa yang Nabi Musa kata itu benar, macam mana?

 

يُصِبْكُم بَعْضُ  الَّذِي يَعِدُكُمْ

Maka akan menimpa kamu setengah azab yang dijanjikan ke atasmu.

Lelaki ini sedang berdakwah kepada kaumnya. Kalau Nabi Musa itu benar, macam mana? Banyak ancaman yang telah diberikan oleh Nabi Musa dan kalau dia benar, masalah kita nanti.

Lelaki itu sedang menggunakan logik untuk berdakwah kepada kaumnya termasuk dengan Firaun sendiri. Bayangkan yang dia sedang bercakap dengan Firaun dan pembesar-pembesar Mesir di istana Firaun.

Ini mengajar kita, kadang-kadang kita dakwah kepada seorang, mungkin yang didakwah tidak terima tapi yang dengar pula yang terima. Mungkin orang yang dengar itu duduk di belakang kita semasa duduk-duduk bersembang sambil berdakwah di kedai makan, tapi dari kata-kata kita itu, dia boleh menerima. Jadi, walaupun Firaun tidak terima, mungkin ada di kalangan mereka itu yang terima.

Lihatlah bagaimana hebat kata-kata lelaki yang beriman ini. Beliau telah berkata dengan berani mempertahankan Nabi Musa. Kata-kata beliau ini lahir dari imannya kepada Allah. Inilah tingginya kedudukan iman. Iman boleh memberikan keberanian kepada manusia. Walaupun bahaya untuk memberitahu yang dia seorang Islam, tapi dia berani juga untuk berkata. Walaupun dia boleh kehilangan kedudukan dalam istana Firaun, malah boleh kehilangan nyawanya, tapi beliau berkata juga untuk mempertahankan seorang Rasul. Semakin tinggi iman seseorang, semakin kuat dia mempertahankan kebenaran.

 

إِنَّ اللهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak akan memberi pimpinan kepada orang yang melampaui batas, dusta dalam percakapannya.

Mungkin timbul soalan: adakah ucapan lelaki mukmin ini memberi kesan kepada pendengarnya? Allah jawap dalam ayat ini yang mereka tidak mahu beriman. Sebab mereka masih kufur. Allah tak buka hati mereka kerana mereka degil, melampau dan dusta dalam percakapan mereka.

Ini adalah kerana mereka ada dua sifat:

  1. musrif – melampau dalam agama. Mereka melakukan syirik. Selagi ada syirik, selagi itu tidak dapat menerima kebenaran agama. Sebab itu kena bersihkan fahaman syirik dari diri manusia.
  2. pembohong – kerana mereka pembohong besar. Nabi Musa yang Nabi pun mereka tidak mahu mengaku baginda Nabi.

Ayat ini sampai ayat 29 adalah peringkat pertama. Ada tiga bentuk ucapan dalam peringkat awal ini:

1. Apa yang mereka nak buat itu adalah jauh dari kewarasan akal – kesilapan yang kecil tapi hukuman besar. Tak musahabah langsung. Macam hukum bunuh penyapu sampah kerana yang tidak sapu sampah.

2. Kesalahan yang dikatakan itu adalah hanya mengatakan yang Tuhan adalah Allah. Jadi tidak patut dibunuh atau dihukum kerana dia tidak buat salah.

3. Dakwaan Nabi Musa bukan kosong sahaja tapi baginda bawa dalil. Kena tengoklah bukti itu.


 

Ayat 29: Sambungan tentang lelaki beriman yang mempertahankan Nabi Musa a.s.

يٰقَومِ لَكُمُ المُلكُ اليَومَ ظٰهِرينَ فِي الأَرضِ فَمَن يَنصُرُنا مِن بَأسِ اللهِ إِن جاءَنا ۚ قالَ فِرعَونُ ما أُريكُم إِلّا ما أَرىٰ وَما أَهديكُم إِلّا سَبيلَ الرَّشادِ

Sahih International

O my people, sovereignty is yours today, [your being] dominant in the land. But who would protect us from the punishment of Allah if it came to us?” Pharaoh said, “I do not show you except what I see, and I do not guide you except to the way of right conduct.”

Malay

“Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita?” Firaun berkata: ” Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar”. 

 

يَا قَوْمِ لَكُمُ الْمُلْكُ الْيَوْمَ

Wahai kaumku, pada hari ini, milik kamu kerajaan ini”.

Memang kamu semua ada kekuasan dalam dunia sekarang, banyak harta kamu sekarang di dunia ini.

 

ظَاهِرِينَ فِي الْأَرْضِ

“Jelas kamu berkuasa penuh atas bumi”

Mereka memang nyata amat berkuasa dan bertamadun di zaman mereka. Kita sekarang pun boleh lihat peninggalan mereka yang hebat-hebat. Antaranya, lihatlah piramid yang mereka bina itu – kita nak bina pun belum tentu kita mampu lagi. Lihatlah juga tinggalan bahasa-bahasa mereka yang manusia zaman sekarang nak terjemah pun susah.

 

فَمَن يَنصُرُنَا مِن بَأْسِ اللهِ

Maka siapa lagi yang boleh tolong kita daripada azab Allah”

Tapi, yang kamu berkuasa dan hebat itu di dunia sahaja – bagaimana pula dengan keadaan kamu di akhirat nanti. Siapa yang boleh selamatkan kamu?

 

إِن جَاءَنَا

“jika azab itu datang

Siapa yang akan menyelamatkan kita apabila kita diazab nanti kerana kita tak ikut Nabi Musa? Kalau azab dah datang, dah terlambat dah untuk buat apa-apa. Tapi kalau sekarang, masih ada masa lagi untuk bertaubat. Maka, marilah bertaubat ramai-ramai dan terima ajaran Nabi Musa ini.

Lihatlah bagaimana lelaki ini memberi ancaman dan peringatan kepada kaumnya. Inilah yang kita kena lakukan kepada masyarakat kita – ingatkan mereka tentang hari akhirat. Jangan nak ingat kehebatan dan kekayaan di dunia sahaja.

 

قَالَ فِرْعَوْنُ

Berkatalah Firaun:

Seperti ada pertukaran dialog antara Lelaki Beriman itu dan Firaun. Setelah lelaki itu memberikan hujahnya, Firaun membantah hujah lelaki itu. Dia mencelah macam peguam mencelah dalam perdebatan di mahkamah. Dia kena mencelah kerana bahaya apa yang dikatakan oleh Lelaki Mukmin ini, boleh menyebabkan ramai yang ikut cakap dia kerana kata-katanya itu masuk akal.

Kata-kata Firaun adalah kata-kata pemimpin-pemimpin yang engkar. Namrud pun lawan Tuhan, tapi kita jarang dengar cerita Namrud, dan kata-katanya sikit sahaja. Tapi kata-kata Firaun hampir setiap juzuk dalam Quran ada kita jumpa. Bila ada Nabi Musa, tentu ada cerita Firaun. Kerana salah satu sifat Firaun, dia petah bercakap dan pandai berhujah. Kerana dia telah perintah Mesir selama 76 tahun. Maka memang dia seorang yang pandai dan berpengalaman.

 

مَا أُرِيكُمْ إِلَّا مَا أَرَىٰ وَمَا أَهْدِيكُمْ إِلَّا سَبِيلَ الرَّشَادِ

“Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan apa yang aku nampak elok, dan tidak aku menunjukkan kamu melainkan kepada jalan yang betul”.

Firaun kata, dia cuma nasihat berdasarkan pendapatnya dan pandangannya yang dia nampak molek. Dalam ertikata lain, dia nak kata dia sebenarnya ikhlas dalam menasihati mereka. Dia kononnya hendakkan kebaikan untuk umatnya itu.

Dalam erti kata lain juga, dia tetap juga nak bunuh Nabi Musa, kerana dia tidak nampak cara lain lagi dah. Tidak ada pandangan lain dan dia tidak akan ubah pendirian dia.

Dan dia kata dia cuma hendak membawa mereka ke arah jalan yang betul. Niatnya baik, dia kata. Padahal, dia suruh mereka sembah dia sebab dia mengaku sebagai tuhan. Bayangkan bagaimana teruk sekali pemikiran Firaun ini – adakah tindakannya memerintah dengan cara kuku besi, sampai sanggup membunuh bayi-bayi lelaki yang baru lahir itu boleh dikira sebagai jalan yang betul?

Dia kononnya hendakkan perpaduan rakyat negeri dia, tidak mahu pecah belah. Beginilah juga yang dilakukan oleh puak-puak agama yang menentang jalan Sunnah. Mereka kata puak-puak ‘Wahabi’ ini, memecah belahkan masyarakat. Sampaikan pernah satu negeri menghalang pengajian tafsir Quran di masjid dan surau kerana takut rakyat akan pecah belah… ini adalah mengarut sekali. Mereka mahukan perpaduan, tidak kira samada dalam sesat atau tidak? Kenapa begitu dangkal fikiran mereka?

Walaupun Firaun itulah yang bersalah dan kejam, dalam ayat lain, ada disebut bagaimana kaum-kaumnya itu mengikut juga Firaun itu ke dalam lembah kesesatan. Seperti yang Allah firmankan dalam Taha:79

وَأَضَلَّ فِرعَونُ قَومَهُ وَما هَدىٰ
Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.

Begitulah umat yang jahil dan tidak memikirkan manakah yang benar. Mereka ikut sahaja kata pemimpin mereka. Mereka nampak macam baik sahaja kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Kerana mereka sudah jauh dari ilmu yang benar. Mereka sudah lama duduk dalam perbuatan yang salah. Mereka takut perubahan yang baru. Mereka nak senang lenang dalam perkara yang mereka biasa buat, tidak kiralah benar atau tidak.


Ayat 30: Walaupun dibantah oleh Firaun, Lelaki Beriman itu meneruskan hujah dan dakwah beliau. Ini adalah syarahan Peringkat Kedua atau peringkat pertengahan. Ianya lebih kuat dari yang sebelumnya kerana kali ini ada ditambah dengan ugutan.


وَقالَ الَّذي آمَنَ يٰقَومِ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم مِّثلَ يَومِ الأَحزابِ

Sahih International

And he who believed said, “O my people, indeed I fear for you [a fate] like the day of the companies –

Malay

Dan berkatalah pula orang yang beriman itu: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa (kebinasaan) sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum yang bergabung (menentang Rasul-rasulnya)! 

 

وَقَالَ الَّذِي آمَنَ يَا قَوْمِ

Berkata orang yang beriman itu: “wahai kaumku”.

Kita tidak tahu siapakah orang beriman ini, tidak disebut namanya. Makanya tak penting untuk tahu siapakah namanya. Quran hanya menyebut beliau sebagai ‘Lelaki Beriman’ sahaja. Isu yang dibangkitkan itulah yang penting, bukan namanya.

 

إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُم مِّثْلَ يَوْمِ الْأَحْزَابِ

“Sesungguhnya aku takut dan bimbang akan berlaku kepada kamu seperti peristiwa kehancuran golongan yang bersekutu”.

 

Lelaki Beriman itu merujuk kepada kaum-kaum terdahulu sebelum mereka yang telah dikenakan dengan azab. Golongan yang bersekutu itu adalah golongan yang bergabung menentang Rasul mereka dahulu.

Beliau takut mereka akan dikenakan dengan azab yang sama. Kalau mereka terus menentang Nabi Musa, mereka boleh dikenakan dengan azab dari Allah – lihatlah apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu. Sekarang lelaki ini menggunakan sejarah pula sebagai hujah beliau. Sebelum ini beliau telah menggunakan logik, dan sekarang apabila melihat kaumnya masih tidak mahu mengikut, beliau telah mengingatkan mereka kepada masa lampau.

Ini memberitahu kita bahawa penduduk Mesir itu tahu dengan apa yang terjadi kepada kaum-kaum dahulu. Begitu juga, Musyrikin Mekah juga tahu dengan azab-azab yang telah dikenakan kepada kaum terdahulu seperti Kaum Aad dan Tsamud.


 

Ayat 31: Ini adalah penjelasan dari Lelaki Beriman itu tentang يَوْمِ الْأَحْزَابِ

مِثلَ دَأبِ قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَالَّذينَ مِن بَعدِهِم ۚ وَمَا اللهُ يُريدُ ظُلمًا لِّلعِبادِ

Sahih International

Like the custom of the people of Noah and of ‘Aad and Thamud and those after them. And Allah wants no injustice for [His] servants.

Malay

“(Iaitu) seperti keadaan kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi Soleh), serta orang-orang yang datang kemudian daripada mereka (seperti kaum Nabi Lut). Dan (ingatlah) Allah tidak menghendaki berbuat kezaliman kepada hamba-hambaNya. 

 

مِثْلَ دَأْبِ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ

“Seperti keadaan kaum Nabi Nuh dan Aad dan Kaum Tsamud”

Perkataan دَأْبِ bermaksud berterusan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Ianya adalah perbuatan yang selalu dilakukan oleh seseorang. Dalam ayat ini, ianya tentang perbuatan yang selalu dilakukan oleh Kaum Nuh, Aad dan Tsamud. Apakah yang biasa mereka lakukan? – Menidakkan kebenaran. Disebabkan perangai mereka itu, mereka telah dikenakan dengan azab dari Allah. Jadi, Lelaki Beriman ini takut perkara yang sama juga terjadi kepada kaumnya itu seperti yang terjadi kepada kaum Nuh, Aad dan Tsamud.

Dalam ayat ini juga mengingatkan bahawa Nabi Nuh, Nabi Hud dan Nabi Saleh membawa perkara yang sama sahaja. Iaitu sama sahaja ajaran mereka – Ajaran Tauhid.

 

وَالَّذِينَ مِن بَعْدِهِمْ

dan orang-orang yang selepas mereka“.

Bukan sahaja kaum Nuh, Aad dan Tsamud tapi mereka yang datang selepas mereka seperti kaum Nabi Luth dan lain-lain lagi.

 

وَمَا اللهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعِبَادِ

“Tidaklah Allah itu ingin memberi kezaliman kepada hamba-hambaNya”

Ini adalah Idkhal Ilahi (Pencelahan Tuhan). Apabila disebut bagaimana kaum Nabi Nuh, Aad dan Tsamud yang dimusnahkan, mungkin ada yang terfikir yang Allah itu zalim. Maka Allah mencelah dalam ayat ini dengan memberitahu yang Allah tidak zalim dan tidak akan azab hamba yang tidak bersalah. Semua yang telah diazab itu adalah kerana mereka sendiri yang zalim.  Allah tidak ada keinginan untuk zalim pun.

Oleh itu, ingatlah yang orang-orang dahulu itu telah dikenakan dengan azab bukanlah kerana kezaliman Allah. Mereka itu memang layak dikenakan dengan azab itu kerana mereka telah melakukan kezaliman. Dan kezaliman yang paling besar adalah kezaliman akidah, iaitu melakukan syirik kepada Allah.

Jadi, ayat ini adalah tentang Takhwif Duniawi. Iaitu menakutkan mereka tentang bala yang Allah boleh kenakan kepada mereka semasa di dunia lagi.


 

Ayat 32: Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Sebelum ini Lelaki Mukmin itu memberikan tahdid (ugutan) duniawi. 

وَيٰقَومِ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم يَومَ التَّنادِ

Sahih International

And O my people, indeed I fear for you the Day of Calling –

Malay

“Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan), 

 

وَيَا قَوْمِ

“Wahai kaumku”,

Lihatlah bagaimana Lelaki Beriman ini ambil berat tentang kaumnya. Dia memberi nasihat kepada kaumnya. Kerana dia sayang kepada kaumnya. Seorang mukmin kena ada sikap begitu. Kita kena kesian kepada orang lain yang tidak mengamalkan agama Islam yang sebenar. Sebab itu kita nasihatkan mereka kerana kita hendak mereka selamat, bukannya kita nak meninggikan diri kita. Dan jangan kita nak selamatkan diri kita sahaja. Apabila kita bersama-sama beriman dengan orang lain, maka kita akan semakin kuat dan banyak perkara kita boleh lakukan dalam bentuk ibadat dan dakwah. Jadi, kena ajak orang lain juga.

Lihatlah bagaimana Lelaki Mukmin ini berkata dengan lembut kepada kaumnya. Kadang-kadang kita rasa, kalau kita benar, kita boleh bercakap dengan kasar dengan orang yang kita dakwah. Janganlah begitu. Kerana kalau kita bercakap kasar dengan orang lain, walaupun apa yang kita dakwahkan itu adalah benar, orang pun tak mahu nak dengar. Ada kemungkinan mereka akan terus tolak sebab tidak suka dengan cara kita. Berkata-katalah dengan lembut dan baik dengan orang yang kita dakwahkan itu. Tak rugi pun. Termasuk juga dalam berhujah dengan orang lain – bercakaplah dengan lemah dan lembut.

Selalu kita lihat bagaimana pendakwah agama itu sikap kasar dan gasar, rasa diri benar sahaja dan pandang hina kepada orang lain. Kadang-kadang yang berkata sebegitu adalah ustaz pula – ini sangat memalukan. Kalau ustaz pun cakap macam itu, bagaimana pula dengan anak murid? Ingatlah yang bukan kita yang beri hidayah, tapi Allah. Alhamdulillah kita sudah dapat hidayah, orang lain belum lagi. Dulu kita pun macam mereka juga, buat syirik, buat bidaah, tapi Alhamdulillah, Allah buka hati kita kepada Jalan Sunnah ini.

 

إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ التَّنَادِ

“Sesungguhnya aku takut kepada kamu pada ‘hari panggil memanggil'”.

Lafaz يَوْمَ التَّنَادِ adalah salah satu nama dari Hari Kiamat. Ada banyak nama yang digunakan oleh Allah untuk menceritakan keadaan pada hari itu.

Kalau mereka tidak dikenakan dengan azab semasa di dunia, mereka boleh dikenakan dengan azab di Akhirat kelak yang disebut dalam ayat ini sebagai يَوْمَ التَّنَادِ (Hari Panggil Memanggil). Iaitu suami akan panggil isteri, isteri akan panggil suami; anak akan panggil ayah; saling panggil memanggil sesama sendiri. Kenapa mereka memanggil-manggil itu? Mereka memanggil itu kerana minta tolong. Sebab dah tak tahu nak buat apa, nak selamatkan diri sendiri sudah tidak boleh, maka menjerit minta tolong kepada orang lain lah, entah-entah orang lain boleh tolong…. tapi bolehkah?

Tetapi tidak ada sesiapa yang akan mampu menolong sesiapa. Mereka yang dipanggil akan lari jauh-jauh. Anak akan lari dari ibubapanya, suami akan lari dari isterinya, kawan baik akan lari dari kawannya yang paling rapat di dunia pun. Apabila nampak sahaja orang yang mereka kenal, mereka akan lari. Inilah keadaan di Mahsyar sebelum mereka duduk berlutut menunggu keputusan Allah. Masa itu tak cakap apa dah. Cuma berbisik-bisik.

Oleh itu, buatlah sesuatu di dunia ini supaya kita tidak susah semasa di Mahsyar kelak.


 

Ayat 33: Apakah akan terjadi pada hari itu? Ada dua pendapat ayat ini: samada dikatakan oleh Lelaki Mukmin itu ataupun pencelahan dari kata-kata Allah. 

يَومَ تُوَلّونَ مُدبِرينَ ما لَكُم مِّنَ اللهِ مِن عاصِمٍ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Sahih International

The Day you will turn your backs fleeing; there is not for you from Allah any protector. And whoever Allah leaves astray – there is not for him any guide.

Malay

“(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. 

 

يَوْمَ تُوَلُّونَ مُدْبِرِينَ

“Pada hari kamu berpaling lari ke belakang”.

Pada Hari Panggil Memanggil itu, setiap orang akan lari dari orang lain. Seperti yang Allah sebut dalam Mutaffifin:34 –

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ
Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,
وَأُمِّهِ وَأَبيهِ
Dan ibunya serta bapanya,
وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ
Dan isterinya serta anak-anaknya; –
لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

 

Mereka juga akan cuba lari dari Padang Hisab. Kerana mereka takut mereka akan dihisab. Tapi mereka tidak akan ada peluang untuk melarikan diri. Mereka akan diheret semula ke Mahsyar. Orang yang kafir tak masuk perbicaraan langsung. Mereka akan terus kena bakar. Mereka juga akan menjadi bahan bakar kerana neraka itu bahan bakarnya adalah manusia dan batu.

Atau, ia mungkin bermaksud, berpaling dari Mahsyar menuju ke Neraka selepas Pengadilan. Waktu inilah terjadinya panggil memanggil itu untuk minta tolong.

 

مَا لَكُم مِّنَ اللهِ مِنْ عَاصِمٍ

“Dan tidak ada untuk kamu dari (azab) Allah seorang penyelamat pun”.

Riuh rendah memanggil orang lain untuk memberi bantuan tapi semua boleh dengar sahaja kerana tidak ada sesiapa yang boleh tolong sesiapa lagi.

Ini menolak harapan sesetengah manusia yang sangka mereka akan dapat bantuan di akhirat nanti. Kerana mereka rasa, semasa di dunia, mereka puja wali, Nabi dan malaikat, takkan mereka tidak tolong pula nanti? Tapi Allah menolak sangkaan mereka itu. Tidak ada sesiapa yang dapat tolong.

 

وَمَن يُضْلِلِ اللهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

“Sesiapa yang disesatkan Allah, tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi hidayah kepadanya”.

Ini adalah Idkhal Ilahi. Selepas ucapan panjang itu, masih tidak nampak mereka ingin menerima. Apabila mula kecewa dengan kedegilan mereka, Allah turunkan ayat, kalau Allah dah sesatkan, tiada sesiapa yang boleh beri pimpinan hidayat.

Bila Allah buat keputusan bahawa seseorang itu sesat, tak boleh buat apa dah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat tolong lagi dah. Tidak ada guru, wali, kawan atau sesiapa sahaja yang boleh pandu dia kembali kepada agama”.

Ini adalah satu amaran: kalau kita tidak mengambil peluang menerima dakwah dan hidayah apabila datang kepada kita, ditakuti hati kita akan ditutup oleh Allah untuk menerima hidayah lagi. Allah akan tutup hati manusia untuk menerima hidayah lagi apabila sudah sampai kufur ‘Peringkat Keempat’. Ini adalah Khatmul Qalbi. Kalau Allah sudah tutup hati-hati manusia dari terima kebenaran, tidak ada sesiapa lagi yang boleh tolong beri hidayah.

Oleh itu, apabila datang satu-satu nasihat kepada kita, hendaklah kita dengar dahulu. Jangan terus bantah, tapi berilah telinga kita untuk dengar apakah yang hendak disampaikan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 040: Ghafir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s