Tafsir Surah Yaasin Ayat 55 – 64 (Kenali Jin dan Syaitan)

Ayat 55: Ayat Tabshir. Ini tentang nikmat syurga pula. Sebelum telah disebutkan tentang mereka yang tidak menerima dakwah dari Nabi. Dan kemudian disebutkan tentang mereka yang menerima hidayah. Ayat ini menceritakan tentang kenikmatan yang akan diperolehi oleh mereka yang menerima hidayah itu.

إِنَّ أَصحٰبَ الجَنَّةِ اليَومَ في شُغُلٍ فٰكِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed the companions of Paradise, that Day, will be amused in [joyful] occupation –

(MELAYU)

Sesungguhnya penghuni surga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka).

 

إِنَّ أَصْحَٰبَ الْجَنَّةِ

Sesungguhnya penghuni syurga.

Mereka ini adalah pemilik-pemilik kekal geran syurga. Mereka akan diberikan dengan segala hak istimewa yang diberikan kepada mereka.

Allah tidak mengatakan ‘Ahli Syurga’ dalam ayat ini tapi ‘Ashab Syurga’. Juga menunjukkan rapatnya mereka dengan syurga nanti. Dan mereka bukan berseorangan di sana kerana mereka akan ada banyak sahabat-sahabat yang akan bersama mereka.

 

الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَٰكِهُونَ

pada hari itu duduk dalam kesibukan menikmati syurga;

Mereka akan sibuk menikmati segala macam nikmat yang ada dalam syurga itu sampaikan tidak mahu melayan orang lain dah. Macam zaman sekarang, sibuk sangat sampai kalau ada orang telefon pun tak mahu nak angkat. Orang panggil pun tak mahu jawab. Itulah maksud perkataan شُغُلٍ itu. Nak senang faham, bayangkan kanak-kanak sekarang yang main video game. Mereka akan tekun bermain video game sampaikan mereka tidak hiraukan keadaan sekeliling. kadangkala makan pun dia tak kisah dah.

Macam kita juga kadang-kadang perlu menenangkan dan merehatkan diri kita, akan pergi melancong atau berjalan-jalan keluar dari tempat tinggal kita. Memang dibenarkan dalam Islam pun. Dan waktu itu kita suka dan sibuk bergembira, bukan? Tapi apabila kita bercuti, beberapa hari sahaja, bukan? Allah hendak beritahu, kenikmatan di syurga nanti adalah selama-lamanya. Sentiasa sahaja dalam seronok.

Begitulah ahli syurga nanti – sibuk menikmati segala pemberian Allah dalam syurga. Dalam dunia, kita tidak digalakkan sibuk dengan hal-hal keduniaan sangat sampai melupakan hal agama. Kita kena pandai membahagikan masa supaya banyak masa kita untuk akhirat juga. Ada benda-benda yang lagha yang kita kena korbankan (tinggalkanlah benda-benda lagha itu). Di syurga nanti, kita akan dibalas atas pengorbanan kita itu. Apabila kita tinggalkan perkara yang membuang masa di dunia ini, Allah akan membalasnya nanti kepada kita nanti.

Apabila sibuk dengan nikmat yang hebat dan berbagai, penghuni syurga itu tidak akan ingat anak isteri, ibu dan ayah yang mungkin ditakdirkan masuk neraka. Akan dibuang perasaan ingat kepada mereka. Kerana kalau ingat, dia tidak akan bergembira. Ini tidak patut kerana syurga adalah tempat untuk menerima kegembiraan dan kalau ada teringat benda yang menyedihkan, itu tidak patut.

Akan dibuang juga daripada mereka perasaan dengki, cemburu, sedih dan sebagainya. Perkataan فَاكِهُونَ itu menerangkan tentang seseorang yang suka sangat. Dia sibuk di dalam kesenangannya itu. Kerana sudah tidak ada tanggungjawab lagi kepadanya melainkan untuk menikmati syurga sahaja. Tidak ada ibadat lagi dah di sana. Tidak perlu memikirkan tentang pekerjaan dan sebagainya.

Pernah tak kita pegi supermarket nak beli keperluan kita? Bila kita dah beli barang, ada banyak lagi kita teringin nak beli tapi duit tak cukup. Maka setiap manusia berjuta kehendak-kehendak dia yang belum Tuhan tunaikan. Nak pergi jalan-jalan dan macam-macam lagi cita-cita kita. Rumah yang cantik juga hendak dimiliki tapi kita tak mampu. Semua itu belum ditunaikan. Bila masuk syurga, Allah akan berikan apa sahaja yang kita hendakkan sebelum ini, dan sibuk dia sebab nak itu dan ini. Ini juga adalah salah satu dalil untuk mengatakan memang syurga itu ada. Kerana kenapa Allah jadikan manusia tetapi tidak memberikan segala keinginan mereka? Sentiasa tidak puas sahaja selama di dunia? Ini adalah kerana Allah akan memuaskan hati mereka di syurga nanti.

Orang lelaki tak boleh masuk syurga kalau tidak diberi persalinan 70 lapis kain sutera. Di dunia dia tak boleh pakai sebab lelaki haram pakai sutera. Kain sutera di syurga itu, tebal didalam, nipis diluar. Sutera yang di dunia adalah cuma salinan daripada sutera yang di syurga. Diberi mahkota, gelang, loket dan wangi-wangian. Kemudian, dia akan dimandikan oleh malaikat. Barulah dimasukkan ke dalam syurga. Begitulah antara nikmat yang akan diberikan.


 

Ayat 56:

هُم وَأَزوٰجُهُم في ظِلٰلٍ عَلَى الأَرائِكِ مُتَّكِئونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They and their spouses –in shade, reclining on adorned couches.

(MELAYU)

Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan.

 

هُمْ وَأَزْوٰجُهُمْ

Mereka dan pasangan-pasangan mereka;

Tentulah tidak akan gembira kalau kita menikmati kenikmatan syurga berseorangan sahaja. Maka, di syurga nanti, kita akan diberikan dengan pasangan. Ramai yang kata ‘dan isteri-isteri mereka’, tapi sebenarnya tidak. Perempuan ada pasangan dan lelaki ada pasangan masing-masing. Mereka akan mempunyai pelayan dari bidadari selain dari isteri. Tapi kita jangan tak tahu yang isteri kita itu lagi cantik dari bidadari kerana mereka akan dicantikkan sesuai dengan kedudukan di syurga. Macam mana bidadari lagi cantik dari isteri sedangkan bidadari tidak pernah buat ibadat dan tidak pernah diuji?

Oleh itu, isteri kitalah yang paling cantik (kalau dia pun dapat masuk syurga). Sebab dia ada buat ibadat semasa di dunia. Bidadari pula dibuat secara langsung (bidadari bukan jenis malaikat). Isteri akan menjadi ketua kepada semua bidadari. Kalau isteri kurang pahala, dan jika suami sudah masuk syurga, suami boleh tarik isteri masuk syurga juga. Dalam kes sebegini, penghuni syuga boleh beri syafaat. Bermakna, syafaat itu boleh diberi apabila sudah berada di sana, bukan semasa berada di dunia.

 

فِي ظِلٰلٍ

duduk dalam teduhan;

Keadaan di syurga amat aman dan nyaman. Akan ada satu pokok di depan istana penghuni syurga. Ia akan menjadi teduhan kepada penduduk dalam syurga. Pokok itu amat besar sampaikan jarak perjalanan dengan kuda yang paling pantas, dari perdu pokok itu sampai ke hujung dahan pokok itu akan mengambil masa selama 80 tahun baru sampai!

 

عَلَى الْأَرَائِكِ

atas singgahsana-singgahsana

الْأَرَائِكِ ini adalah satu benda yang boleh dikatakan antara katil dan kerusi malas. Juga ada yang menterjemahkan sebagai pelamin. Amat selesa sekali bersenggeng di atasnya. Tidak dapat dibayangkan dengan akal kita sekarang. Kerana tentunya keadaan di syurga nanti amat berbeza dimana ia akan menjadi amat baik.

 

مُتَّكِئُونَ

bersandar;

Kedudukan rehat atau disebut ‘bersenggeng’. Maknanya duduk dalam keadaan seronok dan dalam keadaan rileks. Dan tidak lagi dahaga sampai bila-bila. Tidak lapar, tidak sakit, tidak tua. Tidak ada ibadah lagi yang perlu dibuat. Duduk untuk menikmati hidup sahaja. Maka memang duduk rileks sahaja.

Sedangkan ahli neraka pula akan terasa lapar dan dahaga dari mula masuk neraka sampai bila-bila. Bila mereka minta untuk makan dan minum, seribu tahun baru diberi. Itupun diberi air mendidih, apabila didekatkan sahaja air itu ke muka, terbidas naik bibir disebabkan oleh panasnya air itu. Badan kita semua telah dinaiktaraf supaya mampu menerima seksaan tapi kerana panasnya air itu, sampai boleh jadi begitu kepada bibir orang itu. Badan ahli syurga juga akan dinaiktaraf untuk mampu menerima nikmat. Kerana hebat sangat nikmat dalam syurga itu, kalau dengan badan kita yang biasa ini, tidak mampu nak menerimanya. Oleh itu nak masuk syurga pun akan dinaiktaraf supaya tak terkejut melihat segala nikmat yang macam-macam. Kerana nanti di dalam syurga itu, mereka akan makan dengan selera seribu orang lelaki dan bidadari pun banyak, maka memanglah kena kuat tubuh badan itu. Kalau tidak, tidak mampu nak mengalami segala nikmat-nikmat itu.


 

Ayat 57:

لَهُم فيها فٰكِهَةٌ وَلَهُم ما يَدَّعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For them therein is fruit, and for them is whatever they request [or wish]

(MELAYU)

Di surga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.

 

لَهُمْ فِيهَا فٰكِهَةٌ

Bagi mereka, berbagai-bagai jenis buah-buahan;

Kalau kita di dunia pun, kalau kita duduk berehat-rehat, kita akan ada makanan ringan untuk kita makan sambil berehat. Di syurga pun begitu juga. Berbagai-bagai jenis buahan yang mudah dipetik. Kita tak perlu bangun untuk petik pun kerana buah itu akan datang kepada kita. Petik satu, terus keluar buah baru dari tangkai yang sama. Buah-buahan itu pula tidak ada musim, maka tidak perlu nak tunggu musim baru boleh makan buah itu kerana sentiasa sahaja ada buah. Macam-macam jenis buah-buahan termasuk yang tidak ada di dunia. Dan tentunya buah-buahan itu lebih sedap dari buah-buahan di dunia ini.

Bukan buah-buahan itu sahaja yang mereka akan dapat. Ianya sebagai pembuka kata sahaja. Ada banyak lagi yang mereka akan dapat. Tapi digunakan contoh buah, kerana itu yang manusia kenal, dan itu yang manusia suka.

 

وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ

Dan bagi mereka, apa sahaja yang mereka minta;

Berjuta keinginan manusia yang tidak tertunai semasa hidup di dunia. Kerana tidak cukup wang dan sebagainya. Ataupun ada wang, tapi memang tak boleh nak dapat benda yang diingini sebab benda itu terhad, contohnya. Semua keinginan itu, penghuni Syurga akan dapat. Yang dia pernah tengok di dunia, semua dia akan dapat.

Dan apa sahaja yang mereka minta. Mungkin ada benda yang dia tak tahu kewujudan benda tu, sebab dia tak pernah berjumpa. Macam orang dulu-dulu pakai tv hitam putih. Dulu mereka tak tahu akan ada tv warna. Jadi kalau dia nampak tv warna, tentu dia pun hendak juga, bukan? Maka di syurga, akan ditunjuk segala jenis kemewahan yang dia tak tahu, dan dia akan minta, itu pun akan dapat. Ada mufassir yang kata, kita tak perlu sebut pun apa yang kita hendak. Berdetik sahaja dalam hati kita hendakkan sesuatu, ianya akan datang kepada kita.

Bukan itu sahaja, kita juga boleh mengubah rupa kita kalau kita hendak. Mungkin semasa di dunia, kita ada keinginan supaya rupa kita macam orang lain. Maka, di syurga kita boleh nak jadi apa sahaja yang kita kehendaki. Apabila kita tukar sahaja, semua penghuni syurga yang dibawah takluk kita akan ikut tukar sekali.

Dalam dunia, ada benda kita tak boleh nak buat atau guna, seperti minum arak, pakai emas dan sutera untuk lelaki, tapi semua kita akan dapat buat apabila dalam syurga. Mereka akan dibalas kerana dulu semasa di dunia, mereka tahan diri mereka dari melakukan dan memakainya kerana mereka tahu yang ianya haram.

Di syurga nanti ada empat jenis sungai, termasuk sungai susu, madu dan arak. Dan air sungai di syurga boleh lalu dalam rumah ikut bagaimana kita hendak. Nak bagi dia mengalir ke atas, ke bawah, pusing keliling rumah dan sebagainya. Kerana aliran sungai itu juga di dalam takluk kita. Kita boleh minum air-air itu bila-bila masa dan sudah tentunya rasanya lebih baik dari rasanya di dunia. Kerana apa-apa sahaja nikmat di dunia ini adalah sebagai bayang sahaja kepada


 

Ayat 58:

سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] “Peace,” a word from a Merciful Lord.

(MELAYU)

(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.

 

سَلٰمٌ

“Salam”, 

Tengah sibuk dengan melayan segala kenikmatan itu, tiba-tiba Tuhan akan berkata, assalamualaikum. Assalamualaikum ya ahlal jannah… Maknanya Allah datang dan beri salam kepada penghuni syurga itu. Bila dengar ucapan salam dari Allah itu, kepala penghuni syurga akan terangkat naik melihat wajah Allah, sampai lupa segala kenikmatan yang dia baru dapat, semua lupa terpaku tengok keindahan wajah Allah tak tahu berapa lama – sehari, seminggu, setahun, seribu tahun atau sejuta tahun, kita tak tahu. Sebab seronok sangat tengok Allah. Waktu itu sampai tinggal semua nikmat yang lain. Sehingga Allah tutup hijab barulah ahli syurga itu tersedar kembali.

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ يُوسُفَ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ أَبِي الشَّوَارِبِ، حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ العَبَّاداني، حَدَّثَنَا الْفَضْلُ الرَّقاشيّ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ المُنْكَدِر، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “بَيْنَا أَهْلُ الْجَنَّةِ فِي نَعِيمِهِمْ، إِذْ سطع لهم نور، فرفعوا رؤوسهم، فَإِذَا الرَّبُّ تَعَالَى قَدْ أَشْرَفَ عَلَيْهِمْ مِنْ فَوْقِهِمْ، فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ. فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {سَلامٌ قَوْلا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ} . قَالَ: “فَيَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَيَنْظُرُونَ إِلَيْهِ، فَلَا يَلْتَفِتُونَ إِلَى شَيْءٍ مِنَ النَّعِيمِ مَا دَامُوا يَنْظُرُونَ إِلَيْهِ، حَتَّى يَحْتَجِبَ عَنْهُمْ، وَيَبْقَى نُورُهُ وَبِرْكَتُهُ عليهم وفي ديارهم”

Telah menceritakan kepada kami Musa ibnu Yusuf, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdul Malik ibnu Abusy Syawarib, telah menceritakan kepada kami Abu Asim Al-Ibadani, telah menceritakan kepada kami Al-Fadl Ar-Raqqasyi, dari Muhammad ibnul Munkadir, dari Jabir ibnu Abdullah r.a. yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda, bahwa ketika ahli surga sedang bergelimang di dalam kenikmatannya, tiba-tiba muncullah cahaya pada mereka, lalu mereka mengangkat kepalanya memandang ke arah cahaya itu, dan ternyata Tuhan Yang Maha Agung menengok mereka dari atas mereka, lalu berfirman, “Selamat kepada kalian semua, hai penduduk surga.” Yang demikian itulah yang dimaksud oleh firman-Nya: (Kepada mereka dikatakan), “Salam, ” sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang. (Yasin: 58) Maka Allah memandang kepada mereka, dan mereka memandang kepada-Nya. Mereka tidak mengalihkan pandangannya kepada sesuatu pun selama mereka memandang kepada Allah Swt. karena nikmatnya yang tak terperikan, hingga Allah Swt. menutup diri dari mereka dengan hijab-Nya dan yang tertinggal adalah cahaya dan berkah-Nya yang melimpah atas mereka di rumah-rumah mereka.

Maka berniatlah setiap hari untuk berjumpa dengan Allah. Tidak betul satu manusia yang minta untuk masuk syurga tapi tak pernah minta nak jumpa Allah yang menjadikan kita. Nikmat melihat Allah adalah nikmat yang paling besar.

 

قَوْلًا مِّنْ رَّبٍّ رَّحِيمٍ

Perkataan yang mulia daripada Tuhan pencipta pemelihara yang amat sayang

Itulah kalimah yang mulia dari Allah yang Maha Mulia kepada makhluk yang masuk syurga.

Ini maknanya, Allah juga bertempat, bukan? Kerana bukankah Allah datang ke dalam syurga? Bukankah syurga itu adalah satu tempat? Maka kenapakah ada yang menolak Allah boleh bertempat?


 

Ayat 59: Takhwif ukhrawi. Ianya adalah ayat penakutan dari Allah kepada orang orang yang ingkar, tentang apa yang akan terjadi di akhirat kelak. Dalam ayat sebelum ini, Allah menceritakan bagaimana Allah akan berjumpa dengan penghuni Syurga dan memberi salam kepada mereka. Sekarang kita beralih pula kepada nasib penghuni Neraka.

وَامتٰزُوا اليَومَ أَيُّهَا المُجرِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Then He will say], “But stand apart today, you criminals.1

  • i.e., remove yourself from the ranks of the believers to be distinguished from them.

(MELAYU)

Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir): “Berpisahlah kamu (dari orang-orang mukmin) pada hari ini, hai orang-orang yang berbuat jahat.

 

وَامْتٰزُوا الْيَوْمَ

Berpisahlah kamu hari ini;

Iaitu berpisah daripada golongan orang yang beriman. Ini adalah tayangan tentang kejadian pada hari akhirat nanti. Yang berkata itu samada Allah atau malaikat.

Perkataan وَامْتَازُوا diambil dari kata dasar ‘imtiyaz’ yang bermaksud memisahkan sesuatu dari benda yang banyak. Contohnya kita mencari sekam dalam beras dan memisahkan antara beras yang elok dengan beras yang tidak elok.

Dalam dunia, manusia bercampur-campur menjalani kehidupan sehari-hari. Kalau kita lihat semua orang, kita tidak dapat pastikan samada mereka beriman atau tidak. Tapi begitulah manusia, berjenis-jenis perangai dan akidah mereka. Ada antara mereka yang beriman sungguh dan ada antara mereka yang ada masalah pada akidah mereka. Ada yang berhati baik dan ada yang berhati busuk. Tapi dapat duduk sekali, oleh kerana ianya adalah perbuatan hati, kita tidak dapat pastikan dengan hanya memandang mereka. Kerana kita tidak dapat baca apa yang dalam hati manusia, bukan?

Ayat ini menceritakan tentang apakah yang akan terjadi kepada mereka di akhirat kelak. Di dunia, mungkin mereka duduk sekali bercampur gaul dengan kita, tapi di akhirat nanti kita akan terpisah (semoga kita dalam golongan yang baik).

Sekali lagi Allah menggunakan perkataan الْيَوْمَ (hari ini). Allah menggunakan perkataan ini untuk mengajak kita membayangkan keadaan di Mahsyar nanti. Kita semua ramai-ramai akan berada di sana. Kita tidak pasti bagaimana nasib kita. Bayangkan dalam ramai-ramai itu, kita antara orang yang disuruh untuk memisahkan diri kita dari orang yang beriman, bagaimana? Alangkah ruginya waktu itu. Tidak ada penyesalan yang lebih besar dari penyesalan pada waktu itu.

 

أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ

wahai orang yang banyak berdosa,

Mereka dipisahkan dari orang beriman kerana mereka orang yang berdosa banyak. Mereka itu semasa hidup di dunia dulu ikut hawa nafsu sahaja tidak mahu ikut wahyu. Orang Islam apabila di Mahsyar itu akan duduk sekali ramai-ramai. Yang kafir tak masuk mahkamah pun. Mereka terus masuk neraka tak keluar-keluar lagi dah. Jadi yang dipisah hanya orang beriman, iaitu orang-orang tidak melakukan syirik tetapi mereka ada dosa. Samada dosa kecil atau besar. Tauhid dia dah betul dah. Oleh kerana tauhidnya baik, maka dia akan dimasukkan dalam kumpulan orang Islam dulu.

Tapi kemudian mereka akan dipisahkan. Kerana orang-orang Islam akan terbahagi kepada tiga golongan:

  1. Muqarrabin, yang rapat dengan Allah.
  2. mukmin (yang menerima buku amalan pada tangan kanan)
  3. dan yang ketiga adalah orang Islam yang berdosa banyak.

Yang golongan ketiga yang banyak dosa itu akan dimasukkan ke dalam neraka dulu. Ini adalah kerana hendak membersihkan dosa-dosa mereka. Ketiga-tiga jenis ini akan mendapat syafaat dari Nabi. Memang ada syafaat di akhirat kelak, maka kita kena tahu apakah jenis-jenis syafaat itu. Ini penting kerana surah ini berkenaan dengan syafaat, bukan?

Pertama, semua makhluk akan mendapat syafaat dari Rasulullah (Syafaat Uzma) supaya perbicaraan dicepatkan. Ini adalah lama sungguh masa menunggu di Mahsyar sampaikan kelam kabut manusia pergi dari satu Nabi ke satu Nabi meminta para Nabi itu berdoa supaya dipercepatkan perbicaraan. Maka Rasulullah akan berdoa supaya perbicaraan dipercepatkan.

Kemudian, yang berdosa pun akan mendapat syafaat dari Nabi kalau dosanya tak banyak. Tuhan akan beri kebenaran Nabi untuk bagi syafaat itu sebelum mereka masuk neraka.

Yang ketiga, kalau dosanya banyak, dia akan dimasukkan ke dalam neraka dulu untuk menerima azab. Setelah sekian lama, Nabi Muhammad akan dibenarkan untuk mengeluarkan mereka. Masalahnya, kita tak tahu berapa lama akan berada dalam neraka. Mungkin beratus tahun, mungkin beribu atau berjuta tahun. Maka janganlah kita sangka kita sebagai orang Islam akan tinggal sekejap sahaja dalam neraka. Takutlah kepada neraka itu. Kita sepatutnya tidak mahu nak lihat, dengar, cium bau neraka sedikit pun. Kita nak terus masuk ke dalam syurga.

Ada satu lagi golongan yang disebut di dalam surah al-A’raf. Ini adalah golongan yang tidak masuk syurga dan tidak masuk neraka (pada permulaan). Ini telah diterangkan dalam surah al-A’raf. Ringkasnya, akhir sekali mereka akan dimasukkan ke dalam syurga juga.

Tapi yang kita nak ingatkan adalah, orang muslim yang banyak dosa, akan masuk neraka dulu. Yang masuk neraka akan dapat dua kali syafaat. Iaitu mula-mula akan diberikan kepada yang dosa sikit. Kemudian syafaat diberikan kepada mereka yang banyak dosa. Maka kita mestilah memasang azam tak nak satu saat pun masuk neraka. Jangan biar diri kita masuk neraka. Dalam masa yang sama, kita minta juga nak masuk syurga Tuhan. Minta betul-betul dengan Dia. Jangan kita putus harap dengan Allah. Jangan kita rasa kita tak layak untuk masuk dalam syurga. Itu pun adalah satu pemahaman yang salah. Ingatlah yang walaupun kita banyak dosa, tapi Allah boleh ampun dosa sesiapa sahaja yang minta ampun padaNya.

Oleh itu, ayat ini memberitahu kita yang Allah akan bahagikan orang Islam yang banyak dosa dan asingkan dari orang mukmin yang tiada dosa (mungkin mereka ada juga dosa, tapi mereka telah minta ampun semasa di dunia lagi). Mereka yang banyak dosa itu dipanggil الْمُجْرِمُونَ Mujrimin. Akan dikira amalannya, amanahnya samada dia jaga atau tidak, hutangnya dan segalanya, mungkin 30 ribu tahun kena masuk neraka, sebagai contoh. Kita pun tidak tahu perkiraan Allah bagaimana. Nabi Muhammad akan sujud di Arash dan minta syafaat untuk kali kedua. Orang itu dah jadi arang dah. Macam dah mati, tapi tidak mati lagi. Apabila dia sampai ke syurga, ahli syurga akan basuh ahli neraka itu dengan air dari syurga. Barulah boleh tumbuh balik badan dia. Tapi dah hitam dah mukanya. Oleh kerana mereka telah pernah masuk dalam neraka, mereka ini digelar sebagai Golongan Jahannamiyyun. Selepas masuk syurga, dia akan isytihar dia lepas dari neraka pada orang ramai dengan rasa bangga. Dia bangga kerana dia telah berjaya lepas dari neraka.

Selepas itu dalam masa yang lama lagi barulah ada lagi saki baki umat Islam yang ada saki baki iman sebesar zarah yang akan dikeluarkan dari neraka. Ini kerana Nabi akan memohon syafaat dari Allah lagi untuk mengeluarkan mereka.

Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan peringatan kepada kita. Allah telah memberi berbagai-bagai peringatan kepada kita. Tidaklah Allah terus memasukkan kita ke dalam neraka. Allah tidak zalim kerana walaupun Allah beri azab, tapi Allah telah beri peringatan dengan banyak sekali. Dia telah memberikan Rasul, Kitab Qur’an dan guru-guru untuk mengajar kepada kita tentang agama. Dalam masa yang sama, kita telah diberikan dengan akal dan pancaindera untuk kenal agama. Maka gunakanlah kelebihan itu dengan baik. Oleh kerana kita telah diberikan dengan berbagai alat itu, maka jikalau kita termasuk dalam golongan orang yang berdosa nanti, bukanlah salah Allah. Ianya adalah salah kita sendiri yang tidak mengambil peringatan.


 

Ayat 60: Kenapa Allah tidak dikatakan sebagai zalim? Kerana Allah telah beri peringataan kepada kita semua.

۞ أَلَم أَعهَد إِلَيكُم يٰبَني آدَمَ أَن لّا تَعبُدُوا الشَّيطٰنَ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Sahih International

Did I not enjoin upon you, O children of Adam, that you not worship Satan – [for] indeed, he is to you a clear enemy –

Malay

“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

 

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يٰبَنِي آدَمَ

Bukankah Aku telah titahkan kepada kamu wahai anak cucu Adam

Allah mengingatkan kita dengan perjanjian kita denganNya semasa alam roh lagi dan juga semasa kita hidup di dunia. Peringatan sentiasa diberikan kepada kita.

 

أَنْ لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطٰنَ

jangan sekali-kali kamu puja/sembah syaitan.

Allah telah ingatkan kita tentang syaitan, bukan? Jangan menghambakan diri kepada syaitan. Tentulah kita tidak pernah berniat hendak menyembah syaitan. Tapi perkataan ‘sembah’ itu juga bermaksud ‘menghambakan’ diri kepada syaitan. Iaitu apa yang syaitan suruh kita buat, kita ikut. Itulah maksudnya menghambakan diri kepada syaitan.

Jangan buat perkara yang bercanggah dengan wahyu. Kerana kalau berlawanan dengan wahyu sahaja, itu adalah dari syaitan. Tapi kalau kita tidak tahu wahyu, bagaimana kita nak tahu yang kita buat perkara yang bercanggah dengan wahyu?

 

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Sesungguhnya ia adalah musuh kamu yang nyata;

Tak patut kita taat dan termakan bisikan syaitan kerana dia adalah musuh yang nyata bagi kita. Iblis sendiri sudah mengaku dia adalah musuh kita seperti yang telah disebut dalam Qur’an di dalam ayat yang lain. Dia telah berjanji dengan Tuhan nak keluarkan anak cucu Adam dari syurga. Dia telah berikrar akan menyesatkan manusia dari dulu lagi. Dia akan menggunakan berbagai-bagai cara untuk menyesatkan keturunan Nabi Adam. Tapi Allah berfirman yang dia tidak boleh sesatkan orang yang beriman.

Adakah kita sembah syaitan? Kita rasa kita tak pernah pun sembah syaitan. Memang tidak, tapi bisikan dia kita ikut, bukan? ‘Puja’ syaitan maksudnya ikut bisikan syaitan. Apa sahaja dalil yang bukan dari Qur’an, hadith sahih atau perbuatan dari sahabat, dalil itu dipanggil dalil hawa nafsu. Dan dalil nafsu dari bisikan syaitan juga. Contohnya, apabila kita beri nasihat kepada mereka yang melakukan syirik yang amalan yang mereka belajar dari guru mereka adalah amalan yang salah, mereka akan berhujah: “takkan tok guru tu nak masuk neraka.” Atau mereka kata: “Takkan Allah tak beri pahala sedangkan kita buat benda yang baik.” Dan banyak lagi hujah-hujah yang bukan datang dari dalil Qur’an dan hadis. Hawa nafsu itu sebenarnya adalah dari bisikan syaitan. Hasilnya, manusia buat perkara yang bukan diambil dari sunnah. 

Maka jangan kita sempitkan makna تَعْبُدُوا dengan makna ‘sembah’ sahaja. Ia diambil dari perkataan عبد yang bermaksud ‘menghambakan diri’. Jadi kalau kita ikut bisikan syaitan, itu sudah bermaksud kita menghambakan diri kita kepadanya.

Siapakah syaitan itu? Syaitan itu adalah anak cucu Iblis sepertimana kita manusia adalah anak cucu Nabi Adam. Iblis sudah berjanji di hadapan Allah untuk menyesatkan anak cucu Adam. Kalau anak Adam itu seorang yang kuat melakukan ibadat, dia akan kempen orang itu untuk buat syirik dalam ibadat: Maka manusia sudah buat syirik dalam ibadat seperti seru tok wali, seru Nabi, malaikat dan sebagainya.

Kalau manusia seorang yang minat jihad, syaitan akan menyesatkan orang itu dalam perkara jihad, contohnya ambil ilmu kebal supaya musuh tetak tak lut. Jadi nak dapat ilmu itu, seseorang itu kena bela jin. Untuk bela jin atau supaya jin berdamping dengan mereka, mereka perlu buat perkara syirik dahulu. Contohnya, mereka beri salam kepada malaikat, Nabi dan sebagainya. Apabila beri salam sahaja kepada malaikat, Nabi dan wali, jin akan datang dan berdamping dengan dia. Kerana semua salam itu tidak sampai kepada malaikat, Nabi dan wali itu. Itu adalah perbuatan menyeru kepada yang tidak ada. Ingatlah yang para malaikat bukan ditugaskan untuk berkhidmat kepada kita; Nabi sudah mati semuanya, mereka tidak hidup di dunia ini lagi; begitu juga dengan wali-wali itu semua. Mereka semuanya sudah mati.

Bagaimana yang sudah mati boleh mendengar salam yang kita berikan kepada mereka? Yang Maha Mendengar adalah Allah. Allah sahaja yang boleh mendengar segala percakapan kita. Oleh itu, apabila kita beri salam kepada Nabi, wali dan malaikat itu, dan kita kata mereka boleh dengar, maka kita sebenarnya mengatakan bahawa Nabi dan wali-wali itu ada kuasa Tuhan. Itu adalah satu perbuatan syirik. Tidak ada dalil yang mengajar kita untuk beri salam kepada malaikat, Nabi dan wali-wali. Itu semua adalah rekaan dari guru-guru yang telah dibisikkan ajaran itu oleh syaitan-syaitan yang mahu menyesatkan manusia.

Yang diajar kepada kita hanyalah memberi salam kepada penghuni kubur. Itu sahaja dan tidak lebih dari itu. Jangan kita ambil dalil itu untuk mengatakan orang dalam kubur boleh mendengar percakapan kita. Sampai ada yang bermohon kepada ahli kubur seperti puak Barelvi dan ajaran tarekat dan Habib yang melawat kuburan dan meminta pertolongan kepada orang dalam kubur. Mereka mungkin tidak memohon terus kepada penghuni kubur itu. Tapi mereka menggunakan penghuni kubur itu sebagai perantara (wasilah) antara mereka dan Allah. Itu semua adalah kerana mereka rasa bahawa menggunakan perantaraan (tawasul) dalam berdoa itu adalah baik. Kerana mereka telah diajar oleh syaitan bahawa itulah cara yang baik untuk berdoa. Mereka telah ditipu oleh syaitan. Padahal Allah dah beritahu yang syaitan itu adalah musuh kita.

Syaitan-syaitan itu amat pandai menipu kita. Salah satunya dengan mengganggu kita dengan merasuk manusia. Jin selalunya akan rasuk manusia, supaya manusia pergi jumpa bomoh. Bomoh akan baca macam-macam mentera kononnya untuk halau syaitan, padahal kita orang Islam disuruh baca ayat Kursi untuk halau syaitan. Tapi kita pula percaya beras kunyit atau apa-apa yang digunakan oleh bomoh itulah yang menyebabkan hantu lari. Ini adalah kepercayaan khurafat dan boleh membawa kepada syirik. Jin syaitan sebenarnya tak terkesan pun dengan beras kunyit dan sebagainya itu sebab dia makhluk jenis lain. Tapi mereka akan buat olok-olok menggelepar dan kononnya keluar dari manusia yang kena rasuk.

Dan apabila kita percaya benda-benda seperti itu boleh menghalau jin syaitan, itu sudah syirik. Iblis sebenarnya nak kita masuk neraka sekali dengan dia. Kalau menjadi pun perbuatan bomoh-bomoh itu menghalau jin yang merasuk, itu adalah kerana mereka telah bersekongkol sesama mereka: kalau sesiapa pakai benda-benda macam tu, mereka akan olok-olok keluar. Mereka akan cuba memesongkan aqidah kita. Apabila akidah kita sudah terpesong, maka kerja mereka sudah selesai, maka mereka pun keluar dari orang yang dirasuk itu. Syaitan hendak kita mensyirikkan manusia dengan mengatakan bomoh itu dan bomoh ini hebat sampai boleh menyembuhkan mereka. Padahal, Allah lah yang menyembuhkan manusia, bukan makhluk. Tapi masyarakat kita suka berjumpa dengan bomoh dan dukun dan apabila mereka ditakdirkan oleh Allah untuk sihat, mereka akan kata: “hebat bomoh/dukun/ustaz tu, dah baik dah aku ni.”

Asalnya sebelum kelahiran Nabi, jin boleh terbang ke langit dan boleh mencuri-curi dengar perbualan malaikat. Malaikat apabila mendapat berita dari langit, mereka akan bercakap-cakap sesama mereka. Jin akan curi-curi mendengar perbualan malaikat itu. Dan mereka gunakan apa yang mereka dengar dari perbualan malaikat itu untuk menipu manusia. Tapi kemudian mereka sudah tidak boleh lagi selepas Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi. Sebab sudah ada malaikat penjaga langit. Jikalau mereka cuba untuk mencuri dengar perbualan malaikat, malaikat-malaikat penjaga langit itu akan baling mereka dengan bebola api. Jin yang kena bebola api itu akan jadi gila atau mati. Yang gila dipanggil hantu raya dan sebagainya. Hantu yang dinamakan Langsuir, rupa mereka sebegitu sebab mereka telah kena baling dengan bebola api dan kena pada perut. Hantu-hantu itu sebenarnya adalah jin-jin yang dah gila dan mereng, tapi masih lagi nak tipu manusia. Mana yang kena baling bebola api dengan tepat, akan mati. Kalau yang kena sipi-sipi itu yang jadi muka huduh tu. 

Jin sebenarnya takut kepada manusia. Mereka pernah bertanya kepada Tuhan di manakah mereka akan duduk setelah manusia mengambil tempat mereka? Tuhan kata mereka kena duduk di hutan, lautan, bukit dan padang-padang. Maka tempat yang ramai jin, kita panggil bunian. Banyaklah pula kepercayaan salah kita tentang bunian ini pula. Ada kalangan masyarakat Islam kita yang minta tolong kepada bunian-bunian itu. Padahal semua itu adalah bangsa jin belaka. Semua itu boleh memesongkan akidah. Memang ada jin yang Islam tapi tak ramai. Macam juga kita, banyak yang kafir daripada yang Islam. Jin-jin yang Islam itu menjalani kehidupan mereka sendiri – mereka tidak ada kena mengena dengan manusia. Jadi tidak ada istilah ‘berkawan dengan jin’.

Jadi dalam dunia ini ada dua jenis makhluk sahaja: manusia atau jin. Maka Tuhan kata dalam ayat ini supaya kamu jangan sembah syaitan. Jadi kena faham siapakah mereka. Jin kafir itu adalah syaitan. Semuanya kafir belaka, termasuk yang dipanggil ‘saka’ yang menyebabkan orang yang membelanya tak boleh mati. Nak buang saka mudah sahaja. Iaitu ajar kepada sesiapa yang ada saka itu, siapa Tuhan, apa itu Qur’an, apa syurga dan neraka. Kalau percaya, ajar kepada dia kalimah syahadah. Dan kita cakap kepada dia: “Buang jin kamu dengan bacaan bismillahirrahmanirrahim“. Kalau ada yang kata tidak boleh buang jin dan saka dalam badan, macam mana tok sami yang banyak bela jin? Boleh pula mereka masuk Islam, bukan? Oleh itu, cara nak buang jin adalah dengan kalimah syahadah, bukan dengan bomoh. Kalau tak perbetulkan akidah kita, memang saka itu tak akan keluar. Selagi akidah rosak, selagi itu saka itu akan ada dalam badan.

Syaitan menggoda manusia sebab dia telah berjanji nak sesatkan manusia. Kalau seorang itu orang yang melakukan syirik, syaitan akan kempen dia supaya kuat ibadat dan supaya tak belajar agama dah. Dia akan disibukkan dengan buat ibadah sahaja dan dia sangka dia telah terpimpin. Syaitan tak mahu dia belajar agama, sebab kalau dia belajar, dia akan tahu apa yang dia buat selama ini adalah salah. Kerana amalan dia walaupun banyak, tapi amalan syirik atau bidaah sahaja. Jadi, untuk mengelakkan dia dari tahu kesalahan yang dia telah buat, dia akan digoda oleh syaitan untuk buat ibadat banyak lagi. Memang ibadat itu penting, tapi yang lebih penting adalah buat ibadat dengan ilmu. Biar ibadat kita sikit, tapi biarlah kita buat ibadat yang sudah pasti diambil dari ajaran Nabi.

Jadi ketahuilah dan ingatlah yang Syaitan itu adalah musuh kita yang nyata. Di akhirat nanti, Iblis sendiri akan berkhutbah. Iblis akan berkata bahawa dia cuma mencadangkan sahaja kepada kita untuk jadi sesat. Dia akan kata, manusialah yang bersalah kerana mengikutnya. Waktu itu penyesalan tidak berguna lagi.


 

Ayat 61: Tapi bagaimana cara kita nak elak dari ikut syaitan, sedangkan kita tidak nampak syaitan? Jawapan ini ada dalam ayat ini.

وَأَنِ اعبُدوني ۚ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

 Sahih International

And that you worship [only] Me; This is the straight path.

Malay

“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.

 

وَأَنِ اعْبُدُونِي

Sesungguhnya, sembahlah Aku sahaja;

Kita kena sembah, puja, ibadat dan doa hanya kepada Allah sahaja. Tapi bagaimana? Iaitu dengan cara yang Allah ajar. Jadi kena belajar tafsir Qur’an lah untuk kita tahu bagaimana caranya. Allah sebut satu persatu dan selebihnya diajar secara praktikal oleh Rasulullah dalam Hadis.

Pemujaan selain dari Allah tidak boleh. Cara-cara penyembahan agama lain pun kita tidak boleh pakai. Kerana kita sudah ada cara-cara kita, maka kenalah kita belajar cara-cara kita. Jadi, bahan-bahan pemujaan agama lain, seperti limau, epal dan sebagainya kita tidak boleh makan. Lebih haram dari makan babi kalau kita makan.

Itu cara agama lain, tapi adakah kita buat perkara yang sama? Agama lain memang ada banyak letak barang penyembahan kepada tuhan mereka, tapi orang kita pun ada juga letak makanan macam tu, seperti kita letak pulut kuning, ayam golek dan sebagainya depan pelamin. Itu pun dikira bahan pemujaan. Kita pun ada masukkan dalam mulut pengantin macam juga orang kafir letakkan makanan pemujaan ke mulut berhala mereka. Kita renjis pengantin sama sahaja dengan orang Hindu yang merenjis berhala mereka. Kita baling bunga rampai kepada pengantin sama macam agama lain juga. Maka, ada banyak kesalahan dalam majlis perkahwinan yang ada persandingan, malah lebih teruk lagi kalau ada majlis renjis-renjis begitu.

Kalau kita pernah buat macam itu sebelum ini, maka bertaubatlah kepada Allah taala atas kesalahan kita dulu yang kita tak tahu salah. Allah sanggup untuk ampunkan segala dosa kita asalkan kita minta ampun kepadaNya. Dan jangan buat lagi. Dan jangan pergi ke majlis yang macam itu lagi. Kerana itu adalah majlis yang syirik kepada Allah. Kembalilah kepada agama yang benar. Janganlah kerana kita hendak menjaga hati orang, sanggup kita menggadai akidah kita. Sepatutnya kita jangan raikan, supaya mereka tahu bahawa apa yang mereka buat itu salah. Ianya bukan senang sebab dah merebak perbuatan itu dari dulu sampai sekarang. Kita kena bagi mesej kepada mereka-mereka yang buat perkara syirik macam itu bahawa kita tidak akan bersekongkol bersama mereka.

Dan ini memang perkara yang susah kerana jarang sekali orang Melayu tidak bersanding dalam perkahwinan. Ianya sudah jadi perkara yang amat biasa sampaikan kalau kita yang tidak pergi ke majlis persandingan, kita pula yang nampak pelik. Mulalah orang kata tolak masyarakat, memecahbelahkan masyarakat dan sebagainya.

Tapi kita tetap kena sabar dan kuatkan semangat untuk menolak majlis-majlis sebegitu. Kerana Allah hendak kita menghambakan diri kepadaNya sahaja. Seorang hamba itu akan ikut kata tuannya. Kalau tuan kata jangan buat, jangan pergi, kita tak buat dan tak pergi. Begitulah kita dengan Allah. Hendaklah kita ikut segala suruhan Allah dan meninggalkan larangannya. Itulah yang dinamakan Jalan Yang Lurus.

 

هَٰذَا صِرٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

Inilah jalan yang lurus;

Allah suruh kita menghambakan diri kita kepadaNya dan sekarang Allah beritahu, inilah jalan yang lurus. Maknanya, jalan yang lurus adalah dengan menghambakan diri kepada Allah. Maka inilah tafsir ayat dari surah al-Fatihah yang kita baca hari-hari:

اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

Tunjukilah kami jalan yang lurus,

Setiap kali solat kita mohon kepada Allah supaya “tunjukilah kami jalan yang lurus“. Maka apakah ‘jalan yang lurus’ itu? Jawapannya ada dalam ayat Yaasin ini. Iaitu: Sembah, ibadat, puja, doa *hanya* kepada Allah sahaja. Tidak boleh sembah dan puja kepada yang lain. Sembah sultan pun tidak boleh. Puja keris keramat pun tidak boleh. Jangan kita ingat sembah berhala sahaja tidak boleh. Sebab ramai yang rasa itu sahaja penyembahan yang salah, mereka sangka mereka tak buat penyembahan yang salah kerana mereka tidak sembah berhala macam Hindu itu. Padahal banyak orang kita yang buat juga benda-benda yang salah kerana mereka tidak tahu. Ini adalah kerana mereka tidak faham lagi kerana tidak belajar. Jadi bila kita kata, mereka melakukan perkara yang syirik, maka marahlah mereka kerana pada mereka, mereka tak sembah berhala pun.

Jangan kita tiru cara pemujaan orang kafir. Kita pun biasa lihat orang Hindu merenjis patung dewa mereka. Kita juga biasa melihat orang Kristian merenjis air ‘holy water’ kepada penganut mereka. Jadi kenapa kita nak renjis kapal apabila rasmikan kapal? Kenapa kita nak kena jumpa bomoh/ustaz untuk renjis kereta kita yang baru beli? Kenapa ada renjis apabila orang bersanding? Itu semua adalah perbuatan kufur kepada Allah sebenarnya. Kita semua tahu bahawa itu semua adalah cara penyembahan orang kafir, tapi kenapa ramai orang kita masih ikut juga lagi cara-cara itu? Hanya kerana dalam majlis itu ada ditambah dengan bacaan ayat-ayat Qur’an dan didatangi oleh ustaz-ustaz juga?

Apabila berdoa, berdoalah terus kepada Allah. Jangan gunakan perantaraan untuk bacakan doa untuk pihak kita. Macam sami Hindu dan paderi Kristian yang bacakan doa untuk pengikut mereka. Oleh itu, jangan kita pergi kepada guru atau ustaz untuk mendoakan kepada Allah bagi pihak kita. Itu adalah amalan dan perbuatan orang kafir kerana mereka anggap Allah tidak mendengar doa mereka kalau mereka doa sendiri. Oleh itu, mereka minta tolong kepada orang yang mereka sangka ‘rapat’ dengan Allah untuk doakan untuk mereka. Ketahuilah, itu adalah perbuatan ‘tawasul’ dan tawasul jenis itu adalah perbuatan yang dilarang.

Maksud menghambakan diri kepada Allah juga, hendaklah juga kita merendahkan diri kepadaNya dan bersyukur kepadaNya. Kerana apa sahaja yang kita ada, adalah dari Allah.

Kalau kita dah buat semua perkara itu, apa kita perlu buat? Berhenti buat dan bertaubatlah kepada Allah dari kesalahan yang kita telah buat dahulu. Belajarlah cara-cara berdoa yang betul. Masalah dengan orang kita adalah, mereka tidak tahu cara berdoa. Sebab itu mereka ‘outsource’ perbuatan doa itu kepada orang lain. Padahal cara doa itu senang sahaja.

Allah menggunakan perkataan هَٰذَا (inilah) untuk menunjukkan bahawa jalan yang lurus adalah dekat. Ianya senang untuk dilalui. Bukannya jauh dan susah. Ianya adalah senang kerana ianya telah ada dalam fitrah kita. Apabila kita dilahirkan, telah dimasukkan dalam diri kita natural instinct untuk beribadat kepada Allah sahaja. Apabila kita menentang kehendak Allahlah yang berlawan kepada fitrah itu. Jadi agama ini mudah sahaja, asalkan kita mahu belajar. Islamlah agama yang mudah kalau nak dibandingkan dengan agama lain.


 

Ayat 62:

وَلَقَد أَضَلَّ مِنكُم جِبِلًّا كَثيرًا ۖ أَفَلَم تَكونوا تَعقِلونَ

 Sahih International

And he had already led astray from among you much of creation, so did you not use reason?

Malay

“Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

 

وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا

Sesungguhnya syaitan telah menyesatkan kebanyakan dari kalangan kamu;

Memang kerja syaitan itu menyesatkan manusia. Nabi bersabda dalam satu hadis Qudsi: Allah berfirman: “wahai Adam, keluarkanlah 999 dari setiap seribu manusia dan humbankan ke dalam neraka!” Satu sahaja daripada 1,000 manusia yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Berdoalah supaya kita sebahagian dari yang masuk dalam syurga.

Perkataan جِبِلًّا diambil dari kata dasar ‘jabal’ yang bermaksud: gunung. Bermakna, ramai sangat yang tidak beriman sampaikan diibaratkan mereka seperti menggunung.

Telah disebut dalam surah Yaasin juga dalam ayat ke 7 bahawa memang kebanyakan umat Nabi Muhammad akan masuk neraka.

لَقَد حَقَّ القَولُ عَلىٰ أَكثَرِهِم فَهُم لا يُؤمِنونَ

Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

 

أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ

Kenapa kamu tak berfikir?;

Kamu ada otak, bukan? Jadi kenapa kamu tidak berfikir bahawasanya Syaitan itu adalah musuh kamu yang sebenarnya. Jikalau kita buat sesuatu ibadat yang bukan dari dalil Qur’an atau hadis, itu datangnya dari bisikan syaitan. Jangan belajar dengan sesiapa yang memberikan dalil guru-guru yang lain. Atau mereka memberikan dalil dari kitab-kitab. Sepatutnya dia kena kata amalan ibadah itu diambil dari hadis Nabi atau Qur’an.

Masalahnya, ramai yang tidak menggunakan akal fikiran mereka. Mereka tidak pernah memikirkan samada perbuatan yang mereka lakukan itu adalah benar atau salah. Mereka hanya mengikut-ikut sahaja. Mereka hanya bersangka-sangka sahaja. Padahal, kadang-kadang mereka itu adalah orang-orang yang terpelajar, yang bijak-bijak. Kerja sebagai peguam, guru, engineer dan sebagainya. Maknanya, mereka memang pandai dalam hal dunia, tapi hal akhirat mereka lalai. Mereka ambil mudah sahaja hal agama dan syurga neraka itu. Kenapa jadi begini?

Pertamanya, kerana hidayah itu milik Allah. Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Keduanya, walaupun mereka orang yang bijak dan pandai, tapi mereka tidak menggunakan kepandaian mereka dalam hal agama. Dalam hal dunia, mereka kaji sedalam-dalamnya, tapi tidak dalam hal agama. Untuk hal dunia, mereka belajar tinggi-tinggi sampai peringkat universiti, malah sampai ke peringkat PHD. Tapi hal agama, mereka ambil enteng sahaja. Apabila sudah tua, barulah nak berjinak-jinak dengan surau dan masjid. Waktu itu sudah terlambat kerana mereka tidak ada ilmu agama. Amat malang kalau kita lalai hal agama, sedangkan kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Kehidupan di akhiratlah yang kekal abadi. Sepatutnya hal agama inilah yang patut dilebihkan kerana kita akan kekal di akhirat kelak.


 

Ayat 63: Inilah hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar kepada Allah.

هٰذِهِ جَهَنَّمُ الَّتي كُنتُم توعَدونَ

 Sahih International

This is the Hellfire which you were promised.

Malay

“Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).

 

Iaitu telah dijanjikan akan dimasukkan ke dalam neraka, sekiranya kamu melakukan perbuatan syirik kepada Allah; sekiranya kamu banyak dosa kepada Allah. Tapi kamu sekarang akan masuk ke dalamnya kerana kamu tidak mahu percaya dahulu.

Allah bercakap dengan ahli neraka ketika itu. Perkataan هَٰذِهِ digunakan, menunjukkan betapa dekatnya neraka waktu itu dengan mereka.

Perkataan جَهَنَّمُ adalah nama khas yang diberikan kepada neraka. Ianya berasal dari kalimah Parsi ‘jahnam’ yang bermaksud tempat seksaan.

Begitulah kalau taat kepada bisikan syaitan, akhirnya akan menyebabkan manusia masuk neraka. Kalau bisikan itu menyebabkan seseorang sampai melakukan syirik, orang yang melakukannya takkan keluar dari neraka sampai bila-bila. Ini amat bahaya kerana kalau ikut Mazhab Hanbali, kalau tidak solat sudah dikira keluar Islam dah. Mazhab Syafie pula kata, orang yang tak sembahyang hendaklah dibunuh. Itu baru tinggal sembahyang, apatah lagi kalau perbuatan itu adalah syirik?


 

Ayat 64:

اصلَوهَا اليَومَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

 Sahih International

[Enter to] burn therein today for what you used to deny.”

Malay

“Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”

 

اصْلَوْهَا الْيَوْمَ

Terbakarlah kamu ke dalam neraka pada hari ini

Perkataan اصْلَوْ adalah kata khas yang digunakan untuk membawa maksud ‘masuk dalam api’. Samada ahli neraka itu masuk sendiri atau mereka dimasukkan ke dalam neraka oleh malaikat. Bayangkan, ada manusia yang akan masuk sendiri ke dalam neraka walaupun mereka tahu itu adalah api yang menyala. Kerana mereka tidak ada pilihan lain. Apabila Allah arahkan, mereka kena patuh.

Sekali lagi perkataan الْيَوْمَ digunakan – untuk menyuruh kita membayangkan keadaan pada hari itu adalah dekat sahaja. Kalau kita dapat bayangkan, ia akan memberi kesan mendalam kepada kita.

 

بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

dengan sebab kamu dulu kufur;

Iaitu kufur kepada ajakan tauhid semasa hidup di dunia. Mereka tak belajar pun tentang tauhid sedangkan ilmu tauhidlah yang patut diajar kepada umat Islam sekarang. Iaitu tauhid yang berdasarkan Qur’an dan Sunnah Nabi (bukannya belajar Sifat 20). Tapi malangnya, kalau ada yang mengajak kepada kebenaran, macam-macam tohmahan akan dikeluarkan, antaranya mereka akan kata kita Puak Wahabi, pemecah belah masyarakat dan sebagainya. Macam-macam mereka akan kutuk dan tohmah kita.

Ayat ini hendak mengatakan bahawa mereka masuk neraka itu adalah disebabkan oleh diri mereka sendiri. Mereka kufur dengan Allah. Mereka engkar. Mereka tidak boleh salahkan orang lain. Mungkin semasa mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka akan membantah kenapa mereka dimasukkan ke dalamnya. Waktu itu akan dikatakan kepada mereka: ‘dengan sebab kamu dulu kufur’.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s